Palestin enggan rundingan dengan Amerika


Presiden Palestin Mahmud Abbas berucap pada mesyuarat dan pertemuan di Ramallah semalam. – Gambar AFP, 15 Januari, 2018.

PRESIDEN Mahmud Abbas menyelar usaha damai Asia Barat anjuran Amerika Syarikat (AS) sebagai “tamparan abad ini”, selepas Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Dalam ucapan panjang selama dua jam, Abbas menegaskan sekali lagi beliau tidak akan menerima pentadbiran Trump sebagai orang tengah dalam rundingan damai dengan Israel dan mendesak supaya proses itu diketuai secara antarabangsa.

Beliau turut menuduh Israel menerusi tindakannya mengakhiri perjanjian dalam Oslo 1994 yang membentuk asas hubungan Palestin dengan Yahudi, dan berkata Palestin akan mengkaji semua strategi untuk membalasnya.

Selain itu, Abbas turut menyerang duta AS ke Israel dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, David Friedman dan Nikki Haley, menyelar mereka sebagai “memalukan”.

Kedua-duanya yang dilantik oleh Trump adalah penyokong kuat Israel, dengan Friedman memberi sokongan terhadap pendudukan Yahudi di Tebing Barat.

“Kami katakan ‘tidak’ kepada Trump, kami tidak akan menerima projek anda.

“Perjanjian itu tamparan paling hebat abad ini dan kami tidak akan menerimanya,” kata Abbas pada awal mesyuarat penting pemimpin Palestin, merujuk ikrar Trump untuk mencapai penyelesaian muktamad dalam perjanjian damai Isreal-Palestin.

Mesyuarat di Ramallah, pusat pentadbiran Palestin, diadakan susulan pengiktirafan Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember lalu.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan rakyat Palestin.

Sebelum pengiktirafan itu, Trump dan delegasinya termasuk penasihat kanan dan menantu lelakinya Jared Kushner, menghabiskan masa berbulan-bulan untuk berunding bagaimana memulakan semula perbincangan antara Israel dan Palestin yang tertangguh sejak 2014.

Sejak pengumuman Trump berkenaan Baitulmaqdis, Palestin enggan bertemu pentadbiran AS, dan Abbas dijangka menghalau naib presiden Mike Pence ketika lawatannya di rantau itu pada minggu depan. – AFP, 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen