TIGA aktivis kumpulan hak asasi Venezuela, Fundaredes yang mendedahkan situasi pertempuran di sempadan Colombia, kini berdepan dengan pertuduhan jenayah termasuk “keganasan”, kata peguam mereka pada Sabtu.
Pengarah Javier Tarazona dan rakan-rakannya Rafael Tarazona dan Omar Garcia dituduh kerana “khianat, keganasan dan mencetuskan kebencian,” kata peguam Stefania Migliorini dalam video dimuatnaik di media sosial.
Menurut Fundaredes, ketiga-tiga mereka ditahan pada Jumaat ketika pergi ke pejabat pendakwaan awam di bandar Coro untuk memfailkan aduan terhadap “gangguan dan pendakwaan” oleh polis dan agensi perisikan.
Mereka kini ditahan di pusat tahanan di Caracas, kata kumpulan itu.
Fundaredes memberi amaran tentang kehadiran gerila pemberontak Colombia di sempadan Venezuela dan mengecam tindak balas kerajaan, yang dituduhnya melindungi kumpulan itu.
Dilaporkan yang pertempuran tercetus pada 21 Mac lalu sebelum kerajaan bertindak. Ia menyebabkan ribuan orang awam hilang tempat tinggal.
Venezuela tidak menamakan kumpulan bersenjata yang dipersalahkan kerana kekecohan itu, selain menggelarnya sebagai “pengganas” atau mengaitkannya dengan sindiket penyeludupan dadah atau Presiden Colombia Ivan Duque.
Bagaimanapun, sumber keselamatan di Colombia berkata kumpulan itu berkemungkinan adalah pemberontak dari Tentera Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang kini sudah bubar, penganalisis Venezuela Nicolas Maduro turut menyokong andaian ini.
Bogota sudah lama menuduh Venezuela melindungi pemberontak FARC dan kumpulan bersenjata ELN di wilayahnya- tuduhan yang dinafikan Maduro.
Sebilangan pemberontak FARC yang enggan tunduk kepada prosed damai Colombia masih terus memberontak, bergaul dan bergaduh dengan penyeludup dadah.
Venezuela dan Colombia yang berkongsi sempadan sepanjang 2,200 kilometer, memutuskan hubungan diplomatic pada Januari 2019 selepas Bogota mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai pemimpin Venezuela selepas pertikaian pilihan raya yang dimenangi Maduro. – AFP, 4 Julai, 2021.
Komen