.jpg)
DALAM politik demokrasi yang sihat, pertukaran kerajaan adalah suatu yang boleh dan patut dijangkakan. Sebab itu Perlembagaan dan sistem demokrasi itu sendiri menyediakan caranya yang seimbang memastikan perbezaan diurus.
Meskipun sistem pilihan raya First Past the Post selalu disebut sebagai menang dapat semua, ia sebenarnya diimbangi oleh pelbagai jaminan hak oleh Perlembagaan. Cuma, Perlembagaan hanyalah dokumen bertulis. Hak ini hanya terjamin apabila ia dipastikan terlaksana.
Pertukaran kerajaan berlaku lazimnya sebab pengundi tidak berpuas hati. Ada banyak sebab untuk tidak berpuas hati. Daripada sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya.
Agregat rasa itulah yang selalu menjadi pertimbangan pengundi untuk membuat keputusan. Sama ada rasa itu rasional atau tidak, ia perlu disemak kerana banyak faktor boleh mempengaruhinya.
Lazimnya, lingkungan maklumat dan tahap pemahaman seseorang menentukan apa sikap mereka.
Apabila rasa tidak puas hati timbul, bererti sesuatu pentadbiran itu gagal mencapai agregat tahap kepuasan sekurang-kurangnya memuaskan. Bagi yang meletak jangkaan lebih tinggi, mungkin pentadbiran itu gagal mencapai agregat tahap kepuasan baik atau cemerlang.
Perlembagaan, undang-undang dan sistem tidak bergerak dalam vakum dan tidak bergerak sendiri. Ia sarat bagasi sejarah, dimainkan ahli politik berbeza dari zaman ke zaman.
Jika kiub rubik boleh diumpamakan sebagai percubaan mencapai cita sempurna, dari zaman ke zaman ahli politik sentiasa cuba memutar warna yang ada bagi mencapai hasil dihajati. Dalam kes kiub rubik, semua sisi sama warna.
Bergantung kepada apa hasil akhir yang ingin dicapai, ia akan diputar. Katakan di sisi kanan mahu semua warna kuning. Ada yang berpuas hati bila mereka dapat satu jalur warna kuning.
Tanpa sedar jalur itu perlu dialih lagi kerana pemain seterusnya mahu memenuhkan satu sisi itu dengan warna kuning. Jika penuh pun, ia mungkin perlu dialih lagi kerana sisi lain belum seragam.
Dalam kes kiub rubik, ia lebih mudah kerana kita tahu dan boleh gambarkan hasil akhirnya. Tidak seperti kehidupan sosial yang ada pasang surutnya.
Ketika rasa tidak puas hati kepada sesuatu pentadbiran berlaku, situasi mungkin sudah agak parah.
Jika 0 adalah aras neutral memuaskan, rasa tidak puas hati bermaksud ia telah jatuh ke aras negatif, katakan -10. Usaha membaikinya mungkin mengambil masa.
Jika dapat jadikan -8 pun rasa tidak puas hati tetap wujud kerana masih di aras negatif walhal ia sudah semakin baik. Malang sekali jika daripada -10 ia menjadi -15 misalnya.
Perasaan orang ramai tidak mungkin sama. Untuk satu perkara yang sama, ada yang kata bagus, ada yang rasa biasa saja, ada yang kata lekeh, ada yang tak peduli pun.
Lebih kurang macam sekolah. Cikgu sama ajar benda yang sama kepada 30 pelajar, tak semestinya mereka akan dapat markah sama dalam peperiksaan. Ujian kehidupan jauh lebih besar dan faktor penentu tanggapan mereka terhadap sesuatu itu berbeza.
Cara terbaik menanganinya tetaplah dengan ilmu. Ilmu yang mana? Pelbagai. Untuk apa? Untuk membina sebuah cita-cita apakah sebuah negara dan kehidupan bersama yang bermaruah. Yang keamanan, keadilan dan kebebasan di dalamnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.
Samuel Huntington dalam kajiannya mengatakan demokrasi yang stabil mesti melalui “two overturn test” atau dalam bahasa mudahnya dua kali pertukaran kerajaan. Sudah tentu ini bukan syarat tunggal.
Politik yang ideal bukanlah tentang Parti A lawan Parti B atau Pemimpin A lawan Pemimpin B. Politik adalah tentang Hubungan antara penguasa dan warga yang ditadbir dengan kuasa tersebut. – 4 Julai, 2021.
* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar.
Komen