SERANGAN siber yang dilancarkan beberapa jam sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) mungkin memberi kesan terhadap 1,000 perniagaan, kata penyelidik.
Satu daripada rangkaian pasar raya terbesar Sweden, Coop juga terpaksa menutup sementara 800 premis cawangan akibat serangan siber.
Syarikat teknologi maklumat (IT) AS, Kaseya semalam menggesa pelanggan menutup pelayan mereka susulan penyerang siber menyeludup ransomware ke platform rangkaiannya.
Kaseya turut mengesahkan perisian khas VSA yang digunakan untuk mengurus dan memantau rangkaian komputer menjadi sasaran serangan itu dan mendakwa pihaknya mengehadkan serangan sehingga ke paras minimum daripada jumlah pelanggannya yang menggunakan perisian itu.
Firma keselamatan siber, Huntress Labs semalam berkata perisian itu bagaimanapun dimanipulasi untuk penyulitan enkripsi lebih 1,000 syarikat.
Serangan Ransomware biasanya membabitkan penguncian data dalam sistem menggunakan penyulitan enkripsi, menyebabkan syarikat perlu membuat bayaran untuk mendapatkan akses kembali.
Kaseya menggambarkan dirinya sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan IT dan keselamatan terkemuka kepada perniagaan kecil dan sederhana.
VSA, produk utama syarikat dirancang bagi membolehkannya mengurus rangkaian komputer dan pencetak.
“Satu daripada sub-kontraktor terjejas kerana serangan digital dan menyebabkan sistem kami terganggu.
“Kita kesal dengan situasi ini dan akan berusaha sedaya mungkin untuk membuka semula premis yang ditutup sementara,” menurut kenyataan Coop Sweden.
Coop Sweden bagaimanapun tidak mendedahkan nama sub-kontraktor dan kaedah yang digunakan penggodam sistem mereka.
Kaseya menyedari kemungkinan kejadian membabitkan VSA di pantai timur AS tengah hari kelmarin, dan segera menutup pelayannya sebagai langkah pencegahan.
Kaseya juga segera memaklumkan pelanggan melalui e-mel, nota produk, dan telefon untuk menutup pelayan VSA mereka supaya tidak mengalami gangguan.
Pengurus Keselamatan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur AS (CISA) Eric Goldstein berkata pihaknya memantau dengan teliti mengenai penyerang siber menyeludup ransomware ke platform rangkaian Kaseya. – AFP, 4 Julai, 2021.
Komen