ENAM maut apabila pesawat peribadi terhempas di selatan ibu kota Haiti, Port-au-Prince, kata pihak berkuasa tempatan semalam.
Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang di Port-au-Prince pada 6:57 petang kelmarin dan sepatutnya tiba di Jacmel, di pantai selatan Haiti, sejam kemudian, menurut Pejabat Penerbangan Awam Nasional (NCAO).
“Pesawat itu terhempas dalam perjalanan dengan enam penumpang di dalamnya,” kata laporan kejadian NCAO.
Koordinator Perlindungan Sivil Jabatan Ouest Haiti, Gutenberg Destin mengesahkan semua individu di dalam pesawat terkorban.
“Kumpulan pakar dengan bantuan polis, petugas perlindungan sivil dan pihak berkuasa setempat bekerja keras untuk sampai ke tempat nahas, di lokasi yang sulit untuk diakses,” menurut NCAO.
Punca kemalangan belum dapat dikenal pasti.
Penerbangan sewa pesawat peribadi ke pantai peranginan Jacmel semakin popular dan hanya sebilangan kecil penduduk Haiti yang mampu membayarnya. – AFP, 4 Julai, 2021.
Komen