Ribuan rakyat Brazil tunjuk perasaan anti Bolsonaro


Himpunan tunjuk perasaan protes terhadap Presiden Jair Bolsonaro diadakan di beberapa bandar termasuk Sao Paulo, Belem, Recife dan Maceio selain Rio de Janeiro. – Gambar EPA, 4 Julai, 2021.

RIBUAN rakyat Brazil turun ke jalanan untuk menyertai tunjuk perasaan menentang Presiden Jair Bolsonaro yang berdepan siasatan dakwaan rasuah berhubung urusniaga vaksin Covid-19.

Ia demonstrasi hari ketiga protes terhadap kerajaan yang juga berdepan tekanan daripada siasatan Parlimen berkenaan cara pengendalian pandemik koronavirus yang menyebabkan lebih 500,000 maut di negara itu.

Lima Mendes, 47, seorang doktor turut serta dalam protes di Rio de Janeiro berkata kerajaan patut dipersalahkan atas jumlah kematian yang besar akibat pandemik.

“Kerajaan ini membunuh lebih 500,000 orang menerusi keputusannya, berita palsu, pembohongan dan kini skandal rasuah membabitkan vaksin,” katanya.

Himpunan tunjuk perasaan turut diadakan di beberapa bandar termasuk Sao Paulo, Belem, Recife dan Maceio.

Dalam dua bulan pertama prosiding, panel siasatan parlimen memfokuskan kepada kelewatan kerajaan menempah bekalan vaksin malah ia mempromosikan ubat yang tidak berkesan seperti hidroksiklorokin dan Bolsonaro pula meremehkan pemakaian pelitup muka dan langkah penjarakan sosial. – AFP, 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen