.jpg)
PENGUMUMAN kerajaan lima negeri, Perlis, Perak, Kelantan, Pahang, dan Terengganu akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara keluar daripada Covid-19 wajar dipuji kerana akan memberi nafas baru kepada aktiviti ekonomi setempat.
Ini kerana, kelima-lima negeri ini mempunyai aktiviti ekonomi setempat yang tinggi dengan majoriti penduduknya bergantung kepada penjualan hasil tanaman tempatan dan perniagaan kecil yang berasaskan industri asas tani.
Jika dilihat, sektor ekonomi negeri-negeri yang bakal beralih ke Fasa-2 PPN ini melibatkan aktiviti sosial yang memberi kesan kepada ekonomi setempat seperti kedai makan, penjualan produk akhir pengguna dan perkhidmatan berasaskan kemahiran serta usaha kecil-kecilan sendiri.
Analoginya mudah, sebagai contoh, jika rakyat dibenarkan berbasikal (aktiviti sukan), selesai bersukan mereka akan cari kedai untuk makan dan minum, seterusnya mereka akan menghantar basikal untuk servis, membeli aksesori tambahan, dan sebagainya.
Aktiviti ekonomi ini bukan sahaja melalui peruncitan, malah setiap premis kedai makan dan kedai basikal tadi akan mampu menggaji kembali pekerja mereka yang terpaksa diberhentikan sebelum ini.
Ketiga-tiga nilai ambang yang menjadi syarat peralihan fasa PPN kepada lima negeri tersebut turut disokong dengan disiplin dan komitmen yang tinggi yang ditunjukkan rakyat dalam memastikan penularan Covid-19 terus terkawal selain mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja dengan terus memperkasakan dasar bekerja dari rumah (BDR).
Dalam pada itu, kerajaan perlu menilai semula kebenaran operasi kilang- kilang dan tapak pembinaan di seluruh negara terutamanya di negeri-negri yang jumlah vaksinasinya masih rendah kerana kepadatan penduduk yang ramai.
Secara logiknya, untuk mencapai sesuatu sasaran, perlu mempunyai fokus utama. Jika kita ingin sasarkan penurunan kebolehjangkitan Covid 19, kita perlu memberhentikan faktor penyumbang kepada peningkatan kes.
Dalam tempoh sebulan, kita boleh menilai bahawa kluster tempat kerja menjadi faktor penularan jangkitan ini, maka wajarlah ditutup sementara bagi memutuskan rantaian tersebut.
Mengikut rekod, kita pernah berjaya menggunakan strategi tersebut dalam jangka masa pendek semasa perintah kawalan pergerakan yang pertama tahun lalu.
Fokus sekarang adalah pengurangan kes (kebolehjangkitan) dan mempercepatkan vaksin untuk semua rakyat.
Jika fokus ini positif, maka janganlah kita menyumbang kepada faktor kegagalan yang kita tidak boleh kawal.
* Raja Shah Erman Raja Arifin, Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen