Kecewa agihan kerusi, Amanah Perak hitung kekalahan di Lumut


Zulkifli Sulong

Amanah di Perak kecewa kerana hanya akan bertanding di kerusi Parlimen Lumut yang dianggap sukar dipertahankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2018.

PEMIMPIN akar umbi Amanah di Perak kecewa kerana hanya akan bertanding di kerusi Parlimen Lumut yang dianggap sukar dipertahankan dengan mengambil kira sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Apatah lagi, mereka terpaksa bertanding di kerusi tersebut selepas kehilangan kerusi berharga Titiwangsa di ibu negara.

Menurut jentera parti Amanah Perak, kerusi yang kini dimenangi PKR dengan undi majoriti sebanyak 8,168 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 mungkin akan bertukar menjadi kekalahan sehingga perbezaan lebih 2,000 undi kali ini.

Amanah Perak menghitung kekalahan itu berdasarkan kebarangkalian 29,348 pengundi di DUN Sitiawan yang asalnya dalam Parlimen Lumut dipindahkan ke Parlimen Beruas apabila persempadanan semula digunakan.

DUN Sitiawan yang dikuasai DAP selama ini merupakan penyumbang terbesar kepada undi PKR di Lumut.

DUN itu dimenangi DAP dengan majoriti yang semakin meningkat sejak pilihan raya 2004. Pada 2013, DAP memperoleh majoriti hampir 12,000 undi.

Sekiranya Sitiawan dipindah keluar melalui persempadanan semula, hanya DUN Pasir Panjang dan Pangkor akan kekal dalam kawasan Parlimen Lumut.

“Lumut bukan kerusi sasaran kami kerana kami tidak ada jentera di situ. Kami hanya ada jentera di DUN Pasir Panjang sedangkan dua lagi, kami tidak ada jentera,” kata Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata walau dapat bertanding di Lumut, Amanah Perak hanya mendapat agihan empat kerusi saja dari keseluruhan 24 kerusi Parlimen di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2018.

Kerusi DUN Pasir Panjang juga tidak boleh dianggap selamat bagi Amanah. Kerusi tersebut dimenangi calon PAS yang kini menyertai Amanah, Mohamad Nizar Jamaludin pada PRU12.

Ia seterusnya membolehkan Nizar dilantik menjadi menteri besar Perak walaupun hanya untuk 11 bulan. Calon PAS yang menggantikan beliau dalam PRU13, Rohawati Abidin kalah.

Asmuni berkata kerusi Lumut pada asalnya dirundingkan oleh PKR untuk diserahkan kepada Bersatu, namun parti pecahan Umno itu mahukan kerusi Titiwangsa kerana mahu bertanding di satu kerusi di Kuala Lumpur.

Oleh itu, Amanah mengalah dengan melepaskan peluang untuk merampas kerusi Titiwangsa dan mempertahankan Lumut bukannya Lumut dengan alasan mahu satu kerusi di Kuala Lumpur.

“Dua lelaki bergaduh berebut seorang perempuan. Tiba-tiba kita tawarkan bini kita pula untuk menyelesaikan masalah mereka berdua. Ia tidak wajar,” kata Asmuni dengan berkias.

Katanya, hasil rundingan itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan Amanah Perak kerana mengalami lebih banyak kerugian selepas meleraikan perebutan kerusi di antara PKR dan Bersatu itu.

“Saya pegang kata-kata Tok Guru Nik Aziz, PAS tidak boleh kedekut tetapi rakan-rakan kita tidaklah boleh tamak,” kata bekas bendahari PAS Pusat itu.

Asmuni berkata walau dapat bertanding di Lumut, Amanah Perak hanya mendapat agihan empat kerusi sahaja – Lumut, Parit, Parit Buntar dan Bukit Gantang – dari keseluruhan 24 kerusi Parlimen di negeri itu.

Amanah Perak juga kecewa kerana tidak dapat bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, yang menjadi tumpuan jentera mereka sejak pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu tahun lalu.

Katanya, Amanah hanya memerlukan bilangan kerusi Parlimen yang wajar saja iaitu antara 30 hingga 33 kerusi, berbanding hanya 27 kerusi yang diperuntukkan.

Asmuni berkata ia sesuai dengan kedudukan Amanah dalam PH dan beliau yakin ia tidak menunjukkan sikap tamak.

“Tidak boleh hanya Amanah saja menjaga kepentingan PH tetapi Amanah juga perlu menjaga kepentingan partinya. Saya harap ia menjadi pengajaran kepada kita dalam perundingan kerusi negeri nanti,” katanya.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata apabila Titiwangsa dilepaskan kepada Bersatu untuk menyelamatkan PH, ia dinamakan pengorbanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2018.

Mengulas mengenai kekecewaan Amanah Perak itu, Khalid Samad yang juga salah seorang wakil parti menyertai rundingan agihan kerusi PH, mempertahankan keputusan dicapai.

“Memang dalam perundingan kami mahukan kerusi Titiwangsa berbanding Lumut.

“Sebab itu apabila kita lepaskan Titiwangsa kepada Bersatu untuk menyelamatkan PH, ia dinamakan pengorbanan,” kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

Khalid berkata persempadanan kawasan pilihan raya tidak dijadikan modal dalam rundingan berkenaan kerana ia belum pasti akan berlaku.

“Jadi jika kita masukkan isu persempadanan semula, tidak banyaklah kerusi yang dikatakan penyandang.

“Lagipun, jika kerusi Lumut sudah dikira dimenangi BN selepas persempadanan, kerusi Titiwangsa juga begitu, kerusi itu dimenangi BN juga, sebelum dan selepas persempadanan.

“Namun, ini semua kita belum ambil kira faktor Bersatu yang ditubuhkan berdasarkan dulu mereka pengundi Umno kini menyokong PH,” kata pengarah komunikasi Amanah itu.

Beliau juga yakin Amanah boleh menang di Lumut jika jentera di negeri tersebut berusaha bersungguh-sungguh. – 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen