INDONESIA laksana penutupan separa pada Sabtu di Jakarta, di pulau Jawa dan Bali ketika negara Asia Tenggara itu bergelut dengan gelombang jangkitan koronavirus yang belum pernah terjadi ini.
Masjid, restoran dan pusat membeli-belah ditutup di lokasi yang banyak kes.
Indonesia mencatatkan lebih 25,000 kes baharu dan 539 kematian pada Jumaat, kedua-duanya merupakan rekod harian terbaharu.
Kes harian Indonesia meningkat lebih empat kali ganda dalam waktu kurang sebulan. Bagaimanapun, jumlah rasmi negara hingga kini, yang berjumlah 2.2 juta kes dan 59,534 kematian, dipercayai lebih tinggi.
Krisis ini menyebabkan sistem penjagaan kesihatan Indonesia semakin teruk dengan banyak khemah sementara didirikan di luar kemudahan perubatan yang sesak.
Virus varian Delta, yang pertama kali dikenal pasti di India dan sekarang menular di sekurang-kurangnya 85 negara, menjadi pencetus gelombang baru-baru ini dan menyumbang lebih 80% kes baharu di beberapa kawasan, kata kementerian kesihatan.
Strain itu paling mudah berjangkit berbanding varian Covid-19 lain setakat ini.
“(Kenaikan) disebabkan varian Delta,” kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin pada Jumaat.
“Ia ada di setiap negara - tiada yang selamat.”
Pakar sebelum ini memberi amaran bahawa perjalanan ke seluruh negara dilakukan oleh jutaan penduduk pada akhir Ramadan pada Mei lalu akan mencetuskan lonjakan kes.
Langkah baharu yang diumumkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo minggu ini akan berakhir pada 20 Julai dengan harapan berjaya menurunkan jangkitan harian di bawah 10,000.
Widodo, yang lebih dikenal sebagai Jokowi, sekian lama menentang langkah ketat yang dilihat di negara lain, dengan berkata mereka boleh memanfaatkan ekonomi terbesar di Asia Tenggara di mana jutaan penduduknya hidup susah.
Tetapi semua pekerja dalam sektor tidak penting kini diarahkan bekerja dari rumah, sementara kelas hanya akan diadakan secara dalam talian.
Sekatan juga akan berlaku di pulau percutian Bali, yang menyaksikan lonjakan kes baru-baru ini, menyebabkan penangguhan rancangan membukanya kembali kepada pelancong antarabangsa.
Pakar kesihatan memberi amaran langkah yang lebih ketat mungkin tidak mencukupi.
Sekatan tersebut masih membolehkan pengangkutan awam yang sering sesak terus beroperasi dengan kapasiti lebih rendah, sementara perjalanan laut, udara dan bas domestik dibenarkan kepada individu yang sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Bagaimana melaksanakan penjarakan fizikal dalam pengangkutan awam?” kata ahli epidemiologi Indonesia, Windhu Purnomo.
“Kerajaan masih mengutamakan ekonomi dengan membiarkan rakyat bergerak.” – AFP, 3 Julai, 2021.
Komen