Kenapa PM tidak sihat jadi bahan ketawa


KENAPA apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dimasukkan ke hospital kerana diarea (cirit birit) menjadi bahan jenaka dan sindiran dalam kalangan warga media sosial?

Boleh jadi Muhyiddin dimasukkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan sejarah kesihatannya dan diarea juga mungkin adalah simptom sekundar bagi Covid-19.

Namun kenapa ia menjadi bahan berita yang penuh sindiran? Ini kerana keadaan diarea beliau berlaku pada ketika rakyat berang dengan kes Covid-19 yang bersemarak, kemuraman situasi ekonomi yang sedang meruncing dalam kalangan rakyat. 

Isu kibaran bendera putih dalam kalangan penduduk menyebabkan sakit beliau seperti cirit dipandang dengan penuh sinis.

Ini yang dimaksudkan sebagai berkaitan dengan pemerhatian Gonzo, berasal daripada kewartawanan Gonzo di mana sesuatu isu tidak dilihat dari segi fakta kejadian atau beritanya tetapi jauh ke dalam dan di sebaliknya berhubung dengan gambaran keseluruhan atau gambaran besar, the big picture. 

Seseorang wartawan atau penulis boleh juga menggunakan kaca mata seorang antropologis atau seorang sosiologis. Jika hendak tahu dengan lebih mendalam sila gali di carian Google. 

Rakyat dirasakan masih bengang dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin atas usahanya memerangi Covid-19 melalui darurat yang masih tidak dapat diatasi, pemberian vaksin yang perlahan dan situasi ekonom yang melarat sehingga sakitnya tidak mendapat simpati tetapi penuh sindiran bahkan di Twitter diletakkan tanda pagar #PMCirit.  

Ada laporan sehingga jam 10 malam pada hari kejadian, hashtag #PMCirit mencatatkan 24,000 ciapan di Twitter.

Semasa Muhyiddin berada di hospital siapa yang mengendalikan tugas beliau, ia merupakan satu lagi tanda tanya.

Adakah Hamzah Zainuddin atau Mohamed Azmin Ali? Dengan ketiadaan jawatan timbalan perdana menteri dan hanya beberapa menteri kanan, siapa yang kanan dari yang kanan, suatu situasi cirit telah berlaku. 

Seperkara yang timbul pertanyaan apabila kenyataan bersama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim memaklumkan mereka mencadangkan satu persidangan khas kepada perdana menteri. Adakah Muhyiddin bersetuju? 

Gambaran menyeluruh bagaikan dron meneroka belantara dan bukannya pepohon adalah pemerhatian Gonzo yang membawa kita untuk mendalaminya kerana ia sebenarnya bukan persoalan cirit tetapi tahap keberangan rakyat sehingga persoalan sakit itu tidak dianggap sebagai sesuatu yang serius atau perlukan pengisian kemanusiaan. 

Ini kerana apa yang kepimpinan nampak dan apa yang rakyat tanggapi sudah tidak seimbang, antara realiti kerajaan dan realiti rakyat. Inilah yang berlaku walaupun ia adalah perkara sakit seperti cirit. – 3 Julai, 2021.

* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen