PERUNTUKAN RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen yang diumumkan beberapa hari lepas mendapat sambutan yang baik dan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang memerlukan.
Namun demikian melihat kepada SOP dan spesifikasi barangan keperluan bakul makanan di bawah pakej perlindungan dan pemulihan ekonomi (Pemulih) yang dikeluarkan baru-baru ini, ia menimbulkan banyak persoalan.
Projek Bakul Makanan ini sudah lama dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat seluruh negara.
Pelbagai maklum balas yang diberikan dari pelaksanaannya di lapangan sepatutnya diambil kira bagi memperbaiki pelaksanaan projek ini.
Rina Harun selaku menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat sepatutnya membuat postmortem ke atas program agihan bakul makanan ini untuk menjadikan ia lebih menepati sasaran dalam membantu penerima.
Janganlah kita membuat kerja berulang kali dengan cara yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza. Belajar daripada pengalaman lepas.
Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air memohon supaya perkara berikut dipertimbangkan:
Agihan peruntukan perlu mengambil kira kepadatan penduduk mengikut kawasan Parlimen dan bukan sama rata sebanyak RM300,000 kepada semua ahli Parlimen.
Ini bermakna di sesetengah kawasan Parlimen yang kepadatan penduduknya tinggi terutama di bandar besar, hanya peratusan kecil rakyat yang dapat dibantu berbanding dengan sesetengah kawasan Parlimen yang mempunyai kepadatan penduduk lebih rendah;
Senarai barangan yang dibekalkan perlu disemak semula bagi membolehkan peruntukan RM100 sekeluarga itu dimaksimumkan penggunaannya.
Ahli Parlimen perlu diberi keanjalan untuk menentukan senarai barangan yang hendak dibekalkan dengan mengambil kira keperluan keluarga yang disantuni yang tentunya berbeza di bandar dan luar bandar.
Daripada senarai yang dikongsi didapati kos pengendalian kotak, pengangkutan dan stiker mengambil sekitar 20% kos yang diperuntukan.
Saya percaya kos ini boleh diminimakan lagi dengan pengurusan yang cekap dan berkesan oleh pejabat-pejabat ahli Parlimen dan tidak perlu disyaratkan dibekalkan di dalam kotak sebagai SOP agihan.
Adalah lebih baik jika bantuan ini boleh dibuat dalam bentuk pemberian kupon atau baucar makanan untuk penerima membuat pembelian di pasar raya/kedai berdekatan supaya rakyat dapat membuat perancangan dan pembelian barangan yang diperlukan dengan lebih bijak.
Terdapat keperluan lain yang mendesak seperti susu bayi yang diperlukan keluarga yang tidak masuk dalam senarai.
Kupon makanan ini boleh disyaratkan kepada pasaraya/pekedai untuk tidak membekalkan barangan terlarang seperti rokok dan minuman keras. Ini juga akan menjimatkan kos pengurusan sekitar 20% seperti di dalam SOP yang dikeluarkan.
Mekanisma pemantauan dan penilaian projek boleh diguna pakai dalam mengaudit sistem agihan ini di pejabat ahli Parlimen memandangkan setiap pembelian di pasar raya boleh dibuat pengesanan.
Kerajaan perlu lebih proaktif dan memanfaatkan teknologi dan pengalaman NGO tempatan dan badan-badan antarabangsa dalam mengendalikan bantuan kebajikan dan kemanusiaan agar ketirisan dalam agihan bakul makanan dapat dikurangkan. – 3 Julai, 2021.
* Che Asmah Ibrahim, ketua wanita Pejuang (Penaja).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen