Trudeau kecam vandalism gereja, tugu ratu


Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyeru perpaduan rakyat ketika siri vandalisme terhadap gereja dan tugu ratu berlaku di seluruh negara kerana isu sekolah Orang Asli. – Gambar AFP, 3 Julai, 2021.

PERDANA Menteri Justin Trudeau pada Jumaat mengecam siri vandalisme yang berlaku di seluruh Kanada sehingga menyaksikan gereja dirosakkan dan tugu diraja disimbah cat merah dan diruntuhkan.

Ia berlaku susulan penemuan terbaru lebih 1,000 kubur tanpa nama di bekas sebuah sekolah Orang Asli yang mencetuskan kemarahan dan kekecewaan komuniti itu serta bantahan terhadap sejarah penjajahan negara itu.

“Tidak boleh diterima dan salah yang tindakan merosakkan dan membakar dilihat di seluruh negara, termasuk terhadap Gereja Katolik,” katanya pada sidang media.

“Saya memahami kemarahan di luar sana, terhadap kerajaan persekutuan, terhadap institusi seperti Gereja Katolik,” katanya.

“Ia sejarah memalukan yang memang boleh dan sangat difahami” tentang sekolah penduduk Orang Asli Kanada, katanya.

Tetapi, beliau menggesa rakyat Kanada berpadu dan bukannya membuat kemusnahan.

Cuti perayaan Kanada pada Khamis juga dicemari dengan kebencian terhadap sejarah penjajahan Britain dengan beberapa buah bandar membatalkan sambutan Hari Kanada.

Sepuluh gereja di Calgary juga dirosakkan dan penunjuk perasaan di Winnipeg meruntuhkan tugu Ratu Victoria di perkarangan bangunan Manitoba, tugu Ratu Elizabeth II juga diruntuhkan.

Di Britain, kenyataan 10 Downing Street menyebut yang London mengecam tindakan meruntuhkan tugu kedua-dua ratu itu.

Sehingga 1990-an, sejumlah 150,000 remaja Orang Asli Indian, Inuit dan Metis dipaksa memasuki 139 sekolah diuruskan Gereja Katolik bagi pihak kerajaan.

Lebih 4,000 pelajar meninggal dunia kerana penyakit dan pengabaian.

Ramai lagi yang membongkar kisah penderaan fizikal dan seksual dilakukan guru besar dan guru sekolah yang memadamkan budaya dan bahasa mereka. – AFP, 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen