Turki tolak tuduhan Laporan Pemerdagangan Manusia AS


AS mendakwa Turki melanggar undang-undang apabila kumpulan disokongnya di Libya dan Syria dituduh menggunakan tentera kanak-kanak. – Gambar AFP, 3 Julai, 2021.

TURKI pada Jumaat menolak “tuduhan tidak berasas” dalam laporan AS mendakwa negara itu melanggar Akta Pencegahan Tentera Kanak-Kanak kerana kewujudan tentera kanak-kanak dalam kumpulan disokong Turki di Syria dan Libya. 

Laporan Pemerdagangan Manusia 2021 dikeluarkan Jabatan Negara AS menurunkan kedudukan beberapa negara dan menaikkan beberapa yang lain berkaitan isu pemerdagangan manusia.

“Amerika Syarikat berharap untuk bekerjasama dengan Turki untuk menggalakkan semua kumpulan terlibat dalam konflik Syria dan Libya tidak menggunakan tentera kanak-kanak,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS minggu ini.

Dalam kenyataan balas, Kementerian Luar Turki mengecam “tuduhan tidak berasas dan tidak boleh diterima” dalam laporan itu, menuduh Washington menutup mata terhadap aktiviti militia Kurdish di Syria dan Iraq yang dakwanya melatih kanak-kanak menjadi tentera dan memberikan mereka senjata api.

Turki tidak gembira dengan sokongan AS kepada Unit Perlindungan Rakyat Kurdish Syria (YPG) yang pada pandangannya adalah pemberontak yang melancarkan perang terhadap negara itu. – AFP, 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen