WARTAWAN Tanpa Sempadan (RSF) pada Khamis mengecam “kempen memburuk-burukkan” dibuat pihak berkuasa Madagascar terhadap seorang wartawan yang bekerja untuk beberapa agensi media antarabangsa.
Gaelle Borgia, pemenang Hadiah Pulitzer kerana laporan siasatan campur tangan Rusia pada pilihan raya presiden 2018 negara itu, “menjadi subjek kempen cuba memusnahkan reputasinya,” menurut kenyataan RSF dikeluarkan pada Khamis.
Dalam video dimuatnaik di Facebook pada 21 Jun lalu, wartawan itu menunjukkan penduduk yang kebuluran di selatan kepulauan itu memakan kulit haiwan yang digunakan untuk membuat selipar.
Tetapi dalam kenyataan beberapa hari selepas itu, pihak berkuasa menuduhnya “menyebarkan maklumat palsu”, “menghina budaya tempatan” dan menggunakan kesusahan orang awam untuk “cuba meraih publisiti”.
Stesen penyiaran negara TVM kemudiannya menerbitkan wawancara bersama beberapa orang yang sebelum itu ditemuramah Borgia, yang mendakwa wartawan itu membayar mereka untuk memakan kulit haiwan itu.
Borgia menafikan dakwaan itu dan kembali ke kawasan itu untuk menemubual penduduk kawasan itu sekali lagi.
Dalam rakaman video, mereka memberitahu Borgia yang mereka diancam dengan sekumpulan lelaki bersenjata dan dibayar untuk mengeluarkan kenyataan memburukannya.
“Kami mengecam sekerasnya sebarang cubaan untuk memburukkan kerja wartawan ini,” kata RSF.
Tekanan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan semakin meningkat di kepulauan itu terutama sekali dalam pelaporan berkaitan Covid, kata RSF.
Madagascar jatuh tiga anak tangga dalam indeks kebebasan media dikeluarkan RSF, kini berada di tangga 57 daripada 180 buah negara. – AFP, 3 Julai, 2021.
Komen