Pihak berkuasa AS siasat kereta Tesla tiba-tiba terbakar


Punca kebakaran yang memusnahkan kereta Tesla Model S Plaid pada Selasa masih belum dapat disahkan. – Gambar AFP, 3 Julai, 2021.

PIHAK penyelia keselamatan pengangkutan AS pada Jumaat berkata mereka sedang menyiasat kejadian kereta model terbaru Tesla tiba-tiba terbakar, yang hampir membunuh pemandunya yang terperangkap dan anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memadamkan kebakaran.

Punca kebakaran yang memusnahkan kereta Tesla Model S Plaid pada Selasa masih belum dapat disahkan, dan peguam mewakili pemilik kereta itu mendesak model itu ditarik dari jalan raya.

“Ini situasi yang menakutkan dan jelas sekali satu masalah besar,” kata peguam Mark Geragos kepada AFP.

“Siasatan awal kami masih berjalan, tetapi kami sudah menghubungi Tesla meminta mereka menarik balik semua kereta ini sehingga siasatan penuh dijalankan.”

Geragos menerusi Twitternya berkata kereta itu “tiba-tiba terbakar” dan pemandunya “terperangkap dan boleh terbunuh.”

Firma guamannya turut mengeluarkan gambar kereta berharga AS$129,990 itu yang hangus terbakar. 

Tesla tidak membalas permintaan AFP untuk mengulas laporan berita ini.

Anggota bomba berkata kereta itu masih terbakar apabila mereka sampai di tempat kejadian berhampiran Philadelphia.

Mereka terpaksa mengambil langkah pencegahan disebabkan kereta itu dilengkapi bateri besar, dan jumlah air yang banyak digunakan untuk memadamkan kebakaran yang mengambil masa lebih dua jam.

Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional memberitahu AFP yang siasatan sedang dijalankan.

“Jika data atau siasatan menunjukkan wujud kerosakan atau risiko besar kepada keselamatan, NHTSA akan mengambil tindakan bersesuaian untuk melindungi kepentingan awam,” kata jurucakap.

Siasatan itu dijalankan ketika pihak keselamatan AS sedang menyiasat beberapa kejadian melibatkan kereta dengan sistem pemanduan kendiri buatan Tesla dan pengeluar lain.

Siasatan mula dijalankan selepas satu kemalangan maut melibatkan kereta Tesla di Texas awal tahun ini, yang menurut polis bergerak kendiri.

Tesla berkata sistem pemanduan kendiri kereta itu tidak diaktifkan ketika kejadian dan ia dipandu manusia ketika kemalangan itu berlaku.  

Teknologi Tesla menerima publisiti buruk selepas laporan pengguna penguji produk mendedahkan yang sistem pemanduan kendirinya boleh diperdaya untuk dihidupkan walaupun tanpa kehadiran pemandu.

Tesla menyifatkan sistem pemanduan kendirinya sebagai pelengkap pemanduan dan masih memerlukan pemandu untuk mengawalnya ketika diaktifkan. – AFP, 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen