Lebih 100 migran diselamatkan di Selat Inggeris


Tahun lepas, jumlah migran yang menyeberangi atau cuba melintasi Selat Inggeris dari Perancis ke Britain naik empat kali ganda. – Gambar AFP, 3 Julai, 2021.

DALAM sehari lebih 100 migran, termasuk 29 kanak-kanak diselamatkan ketika cuba melintasi Selat Inggeris untuk memasuki Britain dalam enam bot buatan sendiri pada Jumaat, kata pihak berkuasa maritime Perancis.

Migran tersebut menghubungi pihak berkuasa Perancis untuk melaporkan mereka berdepan kesukaran ketika berada di pesisir pantai Perancis.

55 orang dalam bot itu termasuk 14 wanita dan 26 kanak-kanak berjaya diselamatkan, kata pengawal pantai dalam satu kenyataan.

Lebih ramai migran termasuk seorang wanita hamil kemudiannya diselamatkan daripada bot yang berlainan.

Kesemua 111 migran yang diselamatkan itu kemudian dibawa ke Pelabuhan Dunkirk atau Calais di Perancis.

Jumlah cubaan melintasi Selat Inggeris oleh migran melonjak sejak dua tahun lepas, walaupun berdepan risiko besar di laluan perkapalan dan berarus deras itu.

Bulan lepas, polis Perancis memusnahkan sebuah kem menempatkan ratusan orang, kebanyakannya lelaki muda, di luar Calais, yang sejak sekian lama menjadi tumpuan kerana kewujudan pelabuhan feri dan terowong.

Tahun lepas lebih 9,000 orang menyeberangi atau cuba melintasi Selat Inggeris untuk ke Britain dari Perancis, naik empat kali ganda berbanding 2019.

Daripada jumlah itu, enam orang terbunuh dan tiga masih hilang. – AFP, 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen