DUA lagi mayat ditemui dalam runtuhan apartment di Florida pada Jumaat, menjadikan jumlah korban tragedi yang berlaku minggu lepas itu naik kepada 22 orang, dengan 126 orang masih hilang, lapor pegawai.
Peningkatkan jumlah mangsa itu dilaporkan ketika Datuk Bandar Miami-Dade Daniella Levine Cava berkata beliau sudah menandatangani arahan kebenaran meruntuhkan sebahagian lagi bangunan yang masih tegak berdiri, kerana isu keselamatan.
“Keutamaan kami sekarang adalah mencari dan menyelamat. Saya mahu perkara itu jelas,” katanya.
“Kami masih menilai semua kemungkinan kesan dan menentukan masa terbaik untuk kerja meruntuh dimulakan.”
Pasukan penyelamat terpaksa menangguhkan seketika misi mencari dan menyelamat pada Khamis kerana wujud kebimbangan keselamatan berkaitan sisa runtuhan di Surfside, Pantai Miami itu, sebelum usaha menyelamat disambung semula pada hari sama.
Pada malam Khamis, pasukan penyelamat menemui dua mayat mangsa, termasuk anak perempuan anggota bomba Miami berusia tujuh tahun, kata Levine Cava.
Katanya, setakat Jumaat jumlah mangsa hilang menurun kepada 126 orang, mencadangkan beberapa orang dikesan berada di luar bangunan ketika kejadian berlaku. Sejumlah 188 orang dilaporkan selamat.
Pegawai turut mengambil langkah berjaga-jaga kerana Taufan Elsa yang kini berada di Caribbean, kerana bimbang ia boleh menjejaskan usaha menyelamat jika membadai Florida awal minggu depan.
Presiden AS Joe Biden melawat Florida pada Khamis untuk bertemu dengan mangsa terselamat, saudara mara mangsa dan pasukan penyelamat. – AFP, 3 Julai, 2021.
Komen