RM300,000 untuk bakul makanan tak cukup, kata ahli Parlimen


Chan Kok Leong

PKPD bermula hari ini di kebanyakan kawasan di Lembah Klang dan peruntukan RM300,000 yang diberikan kerajaan untuk bantuan bakul makanan disifatkan wakil rakyat sebagai tidak mencukupi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Julai, 2021.

PERUNTUKAN RM300,000 untuk satu kawasan diberikan kerajaan di bawah program Pemulih tidak akan mampu mengurangkan beban kewangan kerana pandemik yang kini dihadapi ramai rakyat Malaysia, kata wakil rakyat Lembah Klang.

Ini kerana ada kawasan yang jumlah penduduknya mencecah ratusan ribu orang, tambah mereka.

“Kawasan Bangi sahaja memerlukan sekitar 2,000 bakul makanan sebulan iaitu RM12,000 selama enam bulan, maksudnya peruntukan sebanyak RM1.2 juta,” kata Ahli Parlimennya Ong Kian Ming.

Jadi, adakah RM300,000 mencukupi untuk Bangi?

“Sudah tentu tidak,” kata wakil rakyat DAP itu. “Tentulah tak cukup sebab kebanyakan kawasan bandar di Lembah Klang mempunyai jumlah penduduk yang sangat ramai.”

Menurut ahli Parlimen berusia 45 tahun itu, Wilayah Hulu Langat yang menempatkan kawasan Parlimen Ampang, Pandan, Hulu Langat dan Bangi mempunyai sekitar 1.2 juta penduduk berdasarkan banci 2010.

“Jumlah ini mungkin sudah meningkat kepada dua juta orang dalam 10 tahun ini (termasuklah pekerja asing di kawasan perindustrian).

“Anggaran saya yang kawasan perwakilan saya (salah satu kawasan paling padat berbanding kawasan lain misalnya Parlimen Hulu Langat) mempunyai sekurang-kurangnya 500,000 penduduk, mungkin lebih ramai lagi,” kata bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Bangi adalah salah satu kawasan Parlimen terbesar berdasarkan jumlah pengundi, dengan 178,959 pemilih berdaftar pada Pilihan Raya Umum 2018. Dibandingkan dengan dua kawasan terkecil – Putrajaya dan Labuan – masing-masing mempunyai 27,306 dan 28,356 pengundi.

Dibahagikan dengan jumlah pengundi, bajet bakul makanan Bangi di bawah Pemulih hanyalah RM1.67 setiap pengundi berbanding RM10.98 dan RM10.58 untuk setiap pengundi di Putrajaya dan Labuan, 6.5 kali ganda berbanding Bangi.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pula tidak memahami sebab kerajaan memperuntukkan RM300,000 kepada semua kawasan Parlimen sedangkan jumlah penduduk untuk setiap kawasan berbeza-beza.

“Peruntukan ini tidak mencukupi untuk menampung 10,000 – 15,000 isi rumah di kawasan perwakilan saya,” kata Nik Nazmi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar sebanyak 72,000 orang pada 2018.

“Dan kerana kita perlu belanjakan RM100 untuk setiap bakul makanan, kita memang akan terlepas beberapa isi rumah,” kata bekas timbalan speaker DUN Selangor itu.

Sekatan pergerakan penuh yang dilaksana sudah menyekat sumber pendapatan ramai orang, dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang bermula Sabtu ini selama dua minggu di hampir seluruh kawasan Lembah Klang akan menyukarkan lagi operasi memberi bantuan.

“Dengan PKPD bersasar, kita akan mempunyai masalah mengedarkan bakul makanan kerana ramai sukarelawan tak dapat datang membantu,” kata wakil rakyat berusia 39 tahun itu. – 3 Julai, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen