Polis benar 3 orang naik satu kereta bagi tujuan rawatan, vaksinasi


Penduduk di kawasan PKPD hanya perlu menunjukkan bukti janji temu di aplikasi Mysejahtera, halaman web atau mesej pesanan ringkas jika ingin mendapatkan vaksinasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai 2021.

TIGA orang termasuk pemandu dibenarkan di dalam sebuah kereta bagi penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi urusan perubatan dan penerimaan vaksin Covid-19, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat hanya perlu menunjukkan bukti janji temu di aplikasi Mysejahtera, halaman web atau mesej pesanan ringkas kepada anggota keselamatan yang bertugas di lapangan.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, kebenaran pergerakan akan diberikan secara case by case basis (mengikut kes),” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Acryl Sani, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memainkan peranan dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan wabak Covid-19.

Semalam kerajaan mengumumkan beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dikenakan PKPD mulai esok sehingga 16 Julai. – Bernama, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen