AZHAR Azizan Harun menafikan tuduhan dibuat terhadapnya oleh ahli Parlimen veteran Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai speaker Dewan Rakyat.
Dalam surat yang ditujukan kepada Razaleigh, Azhar menjelaskan urusan kerajaan menjadi keutamaan di Parlimen berbanding usul tidak percaya.
“Ini termaktub di dalam Peraturan 14(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat. Amalan ini bukanlah unik kepada Malaysia. Peraturan 14 UK House of Commons dan 35 Australian House of Representatives,” kata Azhar dalam kenyataannya hari ini.
Bagi usul bukan kerajaan dibahaskan di Parlimen, ahli Parlimen perlu bersetuju terhadap usul itu terlebih dahulu, kata Azhar.
“Untuk tujuan itu, satu usul mestilah dibawa oleh seorang Menteri, yang melalui amalan kita, mestilah Menteri Undang-undang dan Parlimen.”
Walaupun sebagai speaker, Azhar berkata beliau perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ada.
Beliau berkata walaupun usul tidak percaya diberi keutamaan di Parlimen UK, usul itu tidak dibawa oleh speaker.
“Keutamaan itu diberi apabila pihak kerajaan memberi persetujuan kepada permintaan pihak pembangkang untuk memperuntukkan sehari bagi membahaskan usul undi tidak percaya.”
Ahli Parlimen Gua Musang, Razaleigh menulis surat kepada Azhar minggu lalu dengan dakwaan speaker gagal menjalankan tugasnya kerana tidak membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Parlimen. – 2 Julai, 2021.
Komen