PAC bersidang di Parlimen 26 Julai, kata pengerusi


Surat pemakluman tarikh mesyuarat sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini, kata Pengerusi PAC Wong Kah Woh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2021.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bersidang di Parlimen 26 Julai ini, kata pengerusinya Wong Kah Woh.

Keputusan itu dibuat berikutan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang mahu Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang bagi menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Sehubungan itu, saya selaku pengerusi PAC Parlimen ke-14 akan memanggil jawatankuasa ini untuk bersidang pada 26 Julai 2021, Isnin, jam 2 petang.

“Mesyuarat ini adakan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli PAC serta ahli ex-officio jawatan kuasa ini bagi membincangkan jadual mesyuarat PAC akan datang, kes-kes tertangguh dan mengemas kini jadual mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Surat pemakluman tarikh mesyuarat sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini, tambah ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

PAC bagaimanapun terbuka untuk mengadakan mesyuarat secara hibrid jika tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis-Majlis Dewan Rakyat, katanya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.

Perkara itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai ini, katanya. – 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen