2 majikan, 13 pekerja kilang dikompaun langgar SOP


MAJIKAN dua buah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Parit Buntar dikompaun, kerana gagal memastikan 13 pekerja mengimbas kod MySejahtera dalam Ops Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata, kompaun dikeluarkan dalam operasi dua jam membabitkan pihaknya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dan Majlis Daerah Kerian (MDK) di kedua buah kilang yang beroperasi dalam satu kawasan yang sama.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua majikan dikompaun RM10,000 setiap seorang, kerana gagal dalam memastikan 13 pekerja mereka mengimbas kod MySejahtera, sebagaimana SOP yang diwartakan kerajaan.

“Sembilan pekerja warga tempatan dikompaun berjumlah RM13,500 kerana tidak mengimbas MySejahtera, manakala empat pekerja warganegara asing iaitu dua warganegara Myanmar dan dua warganegara Nepal ditahan, kerana permit kerja tamat tempoh,” katanya selepas operasi tersebut hari ini.

Jelasnya, kompaun itu dikenakan di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala empat warganegara asing itu akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan. – Bernama, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen