Pakistan alami gelombang haba melampau


Jabatan Meteorologi Pakistan berkata musim panas diramal berakhir pada Jumaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai 2021.

GELOMBANG haba melampau melanda Pakistan, dengan suhu di banyak bandar melebihi 40 darjah Celsius (˚C) pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Jabatan Meteorologi Pakistan, suhu maksimum 48˚C dicatatkan di Jacobabad, sebuah daerah di wilayah selatan Sindh.

Daerah Kashmir, Qambar Shahdadkot, Shikarpur, Larkana, Sanghar, dan Shaheed Benazirabad mencatatkan suhu purata antara 44˚C hingga 46˚C.

Suhu di wilayah barat laut Khan Khyber Pakhtunkhwa di daerah Dera Ismail pula mencecah 47˚C, diikuti daerah Peshawar dan Bannu, dengan suhu kekal 46˚C.

Penduduk  di wilayah Punjab dan Balochistan turut mengalami cuaca panas melampau.

Jabatan Meteorologi berkata musim panas diramal berakhir pada Jumaat, hujan dan angin pula dijangka melanda Kashmir, Gilgit-Baltistan, Khyber Pakhtunkhwa, Islamabad, dan beberapa bahagian di wilayah Punjab dan Balochistan. – Bernama, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen