Polis tahan lori bawa rokok seludup RM1.1 juta


POLIS menahan dua lori yang membawa 455 kotak besar berisi rokok putih berjenama tidak lulus kastam bernilai RM1.1 juta di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Kampung Laloh di Jalan Kuala Krai-Gua Musang pada 6.15 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata susulan kejadian itu, dua lelaki iaitu pemandu kedua-dua lori berumur 29 dan 54 tahun turut ditahan.

Beliau berkata anggotanya bertindak menahan lori tersebut selepas dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan petugas di SJR yang dianggotai oleh polis dan tentera telah menemukan sebanyak 455 kotak besar yang mengandungi 227,000 bungkus kotak rokok berjenama disyaki tanpa cukai disembunyikan di bahagian belakang lori dengan nilai sebanyak RM1.1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohammad.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata ketika pemeriksaan dilakukan seorang daripada dua pemandu lori itu turut menawarkan rasuah sebanyak RM5,000 kepada penyelia di SJR itu supaya dilepaskan, berikutan itu, lelaki itu akan turut disiasat kerana menawarkan rasuah kepada pasukan petugas.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan polis turut menemukan dua nombor plat kenderaan palsu di dalam lori tersebut.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua lori itu dalam perjalanan dari selatan tanah air membawa bekalan rokok ke Pantai Timur Semenanjung untuk dihantar ke Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Tumpat,” katanya.

Jelasnya, lori yang dipandu itu juga mempunyai surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rentas negeri dan daerah selain membuat pengisytiharan membawa bekalan makanan runcit.

Abdullah berkata kedua-dua suspek telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – Bernama, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen