Operasi SAR mangsa kondominium runtuh di Miami dihentikan sementara


Presiden Joe Biden dan isterinya Jill melawat lokasi kejadian kondominium runtuh di Surfside, Miami yang setakat ini menyebabkan 18 maut. – Gambar AFP, 2 Julai, 2021.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan kondominium di Miami dihentikan sementara kerana faktor keselamatan berikutan struktur runtuhan yang tidak stabil.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miami-Dade Alan Cominsky berkata terdapat beberapa tiang besar tergantung di struktur bangunan kondominium Champlain Towers South itu yang berisiko jatuh.

Beliau berkata pergerakan daripada kesan runtuhan itu boleh mengakibatkan struktur bangunan lain semakin berisiko untuk runtuh.

Jumlah mangsa korban masih kekal pada angka 18 orang selepas pasukan penyelamat menemukan enam lagi mayat di bawah runtuhan termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan 10 tahun semalam.

Dianggarkan 145 lagi hilang dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan kondominium itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang melawat lokasi kejadian bersama isterinya Jill turut memberi penghormatan kepada keluarga mangsa selain meminta mereka terus bersabar dengan tragedi itu.

Biden berkata masih ada harapan untuk pasukan operasi dan menyelamat mengesan mangsa runtuhan selepas ia dibenarkan berbuat demikian.

“Kita sudah memberitahu situasi sebenar kepada keluarga mangsa dan mereka realistik. Pesanan kita ialah akan terus membantu mereka sebagai satu bangsa, satu negara,” kata Biden. – AFP, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen