Israel serang Gaza lagi


Israel serang kawasan kumpulan pejuang Islam di Gaza hari ini menerusi serangan udara sebagai tindak balas susulan pelepasan belon api dari wilayah Palestin. – Gambar EPA, 2 Julai, 2021.

ISRAEL membedil kawasan kumpulan pejuang Islam di Gaza hari ini menerusi serangan udara sebagai tindak balas susulan pelepasan belon api dari wilayah Palestin, menjadikan ia pergolakan terbaru sejak gencatan senjata bagi mengakhiri konflik pada Mei lalu.

Sumber keselamatan Hamas berkata serangan itu menyasarkan kawasan latihannya namun tiada kecederaan dilaporkan.

Kenyataan tentera Israel pula berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap belom api ke wilayah Israel hari ini, jet pejuang (tentera) menyerang… sebuah tapak penghasilan senjata milik organisasi Hamas”.

Semalam, perkhidmatan bomba Israel berkata belon api yang dilancarkan dari Gaza mencetuskan kebakaran kecil di wilayah selatan Eshkol, dekat sempadan Gaza.

Dalam satu kenyataan, bomba berkata kebakaran yang berlaku kecil dan tidak berbahaya serta ia dipadamkan dengan cepat.

“Penyiasat kebakaran…punca kebakaran disebabkan belon api (dari Gaza),” kata perkhidmatan bomba Israel.

Sejak gencatan senjata pada 21 Mei lalu, banyak serangan berlaku termasuk beberapa siri pelancaran belon api apabila Israel membalasnya dengan serangan udara bulan lalu.

Susulan kejadian berbalas tembakan pada 18 Jun lalu, ketua tentera Israel mengarahkan pasukannya bersiap siaga menghadapi pelbagai senario termasuk meletus lagi keganasan.

Dalam kejadian Mei lalu, seramai 260 rakyat Palestin termasuk beberapa pejuang terbunuh, menurut pihak berkuasa Gaza.

Di pihak Israel, 13 terbunuh termasuk seorang tentera. – AFP, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen