Perancis siasat Uniqlo, Zara guna kapas dari Xinjiang


Perancis siasat empat kumpulan fesyen termasuk Uniqlo dan Zara disiasat susulan tuduhan mengaut keuntungan daripada buruh paksa daripada golongan minoriti Uyghur di China. – Gambar fail AFP, 2 Julai, 2021.

MAJISTRET Perancis melancarkan siasatan terhadap dakwaan membabitkan empat kumpulan fesyen termasuk Uniqlo dan pemilik Zara yang mengaut keuntungan daripada buruh paksa daripada golongan minority Uyghur di China, kata sumber kehakiman.

Majistret di pejabat pendakwa anti keganasan di Paris sedang menyiasat berhubung dakwaan syarikat  multinasional melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, kata sumber, sekali gus mengesahkan laporan dalam laman web penyiasatan Mediapart.

Kes itu berdasarkan kepada aduan dibuat pada April oleh kumpulan anti rasuah Sherpa, cawangan Perancis bagi Kempen Clean Clothes, dan Institut Uyghur di Eropah, selain seorang wanita Uyghur yang pernah ditahan di kem di Xinjiang, China.

Mereka mendakwa Inditex, iaitu pemilik Zara di Sepanyol dan satu lagi jenama terkemuka, Uniqlo, rumah fesyen Perancis kumpulan SMCP, dan pengilang kasut Skechers menggunakan kapas yang dihasilkan di wilayah Xinjiang.

Kumpulan hak asasi manusia percaya sekurang-kurangnya sejuta Uyghur dan minoriti Muslim lain dipenjarakan di kem di Xinjiangm di mana China juga dituduh secara paksa memandulkan wanita Uyghur dan mengerahkan buruh paksa.

Amerika Syarikat (AS) berkata “genosid” sedang berlaku terhadap Uyghur dan minoriti Muslim lain di rantau itu, di mana Beijing menafikan semua dakwaan penderaan dan menegaskan polisinya di Xinjiang terpaksa dilakukan bagi mengawal ekstremis keganasan.

AS mengumumkan larangan import terhadap syarikat yang beroperasi di Xinjiang, termasuk pembuat panel solar Hoshine Silicon Industry.

Beberapa jenama barangan pengguna terkemuka termasuk Uniqlo, H&M, Nike dan Adidas tahun lalu mengumumkan mereka akan berhenti membeli kapas dari wilayah itu, membawa kepada desakan memboikot China.

Inditex menafikan ia menggunakan kapas dari Xinjiang.

Uniqlo, yang membuat pendirian terbuka menentang kegiatan buruh paksa membabitkan Uyghur, didakwa mendapatkan kapas dari wilayah Anhui, di mana ribuan pekerja Uyghur dipindahkan ke sana.

SMCP didakwa antara pemegang saham dalam satu syarikat yang mempunyai kilang di Xinjiang, tetapi syarikat itu menafikannya dan berkata akan memberikan kerjasama dalam siasatan itu. – AFP, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen