BADAN induk bola sepak Eropah (UEFA) membatalkan semua tiket yang dijual kepada penyokong dari England bagi menyaksikan suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine di Rom hujung minggu ini.
Ia bertujuan menghalang penyokong berkunjung ke ibu kota Itali dan tidak mengikut peraturan kuarantin Covid-19, kata pihak berkuasa Itali hari ini.
Peraturan kesihatan Itali mengenakan peraturan iaitu penyokong yang tiba dari Britain perlu menjalani kuarantin lima hari.
Bagi mengelak peraturan ini disalah guna, “polisi tiket spesifik digunakan” bagi saingan kelompok lapan terakhir awal pagi Ahad ini, kata menteri dalam negeri Itali dalam satu kenyataan.
UEFA selepas pengumuman itu membuat keputusan menghalang penjualan dan pertukaran tiket bermula hari ini, malah membatalkan tiket yang dijual kepada penduduk UK bermula tengah malam tadi.
Jumlah tiket yang dibatalkan tidak diberitahu.
Badan induk bola sepak England (FA) diberikan 2,560 tiket iaitu 16% daripada kapasiti dibenarkan iaitu 16,000 di Stadio Olimpico, Rom.
Setiausaha Kesihatan Itali Andrea Costa mengulangi kenyataan individu yang tiba dari Britain perlu menjalani kuarantin lima hari.
Britain berdepan peningkatan kes baharu Covid-19 membabitkan varian Delta yang kali pertama dikesan di India walaupun kejayaan program vaksin di negara berkenaan. – AFP, 2 Julai, 2021.
Komen