Ketua parti politik pembangkang Algeria ditahan


Peserta protes berkumpul di Algiers pada Februari lalu meraikan ulang tahun gerakan Hirak. – Gambar EPA, 2 Julai, 2021.

PIHAK berkuasa Algeria menahan ketua parti pembangkang kerana didakwa menghina Presiden Abdelmadjid Tebboune selain beberapa tuduhan lain, kata isterinya dan kumpulan hak asasi manusia.

Fethi Ghares, 47, coordinator bagi kumpulan kecil berhaluan kiri iaitu parti Gerakan Demokratik dan Sosial, ditahan di rumahnya malam tadi, di Algiers, kata isterinya Messaouda Cheballah.

Peguamnya berkata Fethi ditahan atas beberapa pertuduhan, termasuk menghina presiden dan menyiarkan makluman yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

Tiada maklumat lanjut diberikan.

Naib Presiden League for the Defence of Human Rights (LADDH) Algeria Said Salhi berkata penahanan Fethi adalah satu lagi tanda penindasan di negara Afrika Utara itu.

“Tindakan politik bukan jenayah,” kata Salhi dalam satu kenyataan di Facebook, mendakwa ketua pemimpin parti politik itu berada di penjara kerana menyuarakan pendapatnya.

Fethi menyertai gerakan pro demokrasi Hirak pada 2019, protes besar-besaran yang menjatuhkan presiden veteran Abdelaziz Bouteflika daripada kuasa.

Gerakan protes yang berpanjangan itu mendesak sistem politik Algeria diperbaharui.

Kerajaan mengharamkan demonstrasi Hirak dan meningkatkan prosiding undang-undang terhadap pembangkang, aktivis, wartawan dan ahli akademik.

Kira-kira 300 individu kini dipenjarakan atas pelbagai kesalahan berkaitan Hirak, menuru kumpulan hak asasi manusia. – AFP, 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen