RUSIA pada Khamis mencatatkan 672 kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut laporan pemerintah, sekali gus menjadikan negara itu tiga hari berturut-turut mencatat kematian tinggi.
Negara itu sedang bergelut memerangi pandemik yang melonjak kerana varian Delta dan diperburukkan lagi oleh program imunisasi yang perlahan, memaksa Presiden Vladimir Putin pada Rabu menggesa rakyatnya mendapatkan vaksin.
Angka kematian harian dikeluarkan pada Khamis mengatasi rekod 669 maut pada Rabu dan Selasa seramai 652 orang.
Datuk bandar Moscow Sergei Sobyanin berkata varian Delta, yang pertama kali dikenal pasti di India, menyumbang 90 peratus kes di ibu negara Rusia.
Beliau telah memperkenalkan sejumlah peraturan baharu bagi mengatasi lonjakan itu, termasuk mengarahkan perniagaan menghantar pulang 30 peratus pekerja yang tidak divaksinasi.
Sobyanin juga awal bulan ini mengarahkan 60 peratus pekerja industri perkhidmatan di bandar itu untuk sepenuhnya diimunisasi pada pertengahan Ogos, bersama dengan puluhan daerah di Rusia mengikuti arahannya.
Kremlin telah menetapkan sasaran untuk sepenuhnya menyuntik 60 peratus penduduk Rusia pada September, namun mengakui awal minggu ini ia tidak akan dapat mencapai sasaran tersebut.
Pihak berkuasa telah berhadapan penduduk yang sangat ragu dengan vaksin koronavirus, khususnya dengan vaksin buatan Rusia, dengan tinjauan bebas menunjukkan 60 peratus tidak mahu mendapat vaksin.
Setakat Khamis, hanya 17.4 juta penduduk Rusia daripada sekitar 146 juta orang - atau sekitar 12 peratus - telah divaksinasi sepenuhnya, menurut laman web Gogov.
Rusia, dengan 135,886 kematian akibat Covid-19, mempunyai jumlah rasmi tertinggi berbanding di Eropah. – AFP, 1 Julai, 2021.
Komen