PRESIDEN China, Xi Jinping memuji usaha negaranya sendiri yang berjaya berubah dari dihina penjajah menjadi status kuasa besar sempena sambutan ulang tahun ke 100 Parti Komunis China pada Khamis.
Berucap di atas potret raksasa Mao Zedong di Dataran Tiananmen, dari podium di mana pengerusi terkenal itu mengisytiharkan Republik Rakyat China pada 1949, Xi berkata, “era China yang dibuli telah hilang selama-lamanya”, memuji parti itu untuk meningkatkan pendapatan dan mengembalikan kebanggaan negara.
Menarik garis penaklukan ketika Perang Candu kepada perjuangan mengangkat revolusi sosialis di China, Xi berkata parti telah membawa semangat kebangsaan yang mengubah puluhan juta dari lembah kemiskinan sekali gus “mengubah landskap pembangunan dunia.
Xi, yang memakai jaket seperti Mao, menambah, “perubahan besar China telah memasuki jalan bersejarah yang tidak dapat dipulihkan” dan berikrar akan terus membina tentera “bertaraf dunia” untuk mempertahankan kepentingan republik komunis itu.
“Rakyat China tidak akan pernah membiarkan pasukan asing menggertak, menindas, atau memperbudak kita,” kata Xi disambut tepukan gemuruh.
“Sesiapa yang ingin berbuat demikian akan menghadapi pertumpahan darah di hadapan Tembok Besar besi yang dibina oleh lebih daripada 1.4 bilion orang China.”
Berhubung Taiwan yang diperintah sendiri - yang dilihat Beijing sebagai sebahagian wilayahnya - Xi, menyeru “penyatuan kembali tanah air yang lengkap”.
“Semua anak China, termasuk rakan senegara di kedua-dua belah selat, perlu bekerjasama dan maju dalam semangat setiakawan, dan dengan tegas menghancurkan plot ‘kemerdekaan Taiwan’,” katanya.
Pada 1921 Mao dan kelompok pemikir Marxis-Leninis di Shanghai mengasaskan Parti Komunis, yang sejak itu berubah menjadi salah satu organisasi politik paling berkuasa di dunia.
Kini ia berjumlah sekitar 95 juta anggota, yang dikumpulkan selama satu abad perang, kelaparan dan pergolakan, dan baru-baru ini lonjakan status kuasa besar yang menentang musuh Barat pimpinan Amerika Syarikat.
Dalam upacara megah itu, ribuan penyanyi, yang dibantu kumpulan perarakan, melantunkan paduan suara termasuk “Tanpa Parti Komunis tidak akan ada China Baru” ketika para jemputan tanpa topeng bersorak dan mengibarkan bendera di Dataran Tiananmen yang penuh sesak. – AFP, 1 Julai, 2021.
Komen