ARAB Saudi semalam umum rancangan untuk melancarkan syarikat penerbangan nasional keduanya, lapor media tempatan, ketika industri penerbangan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Syarikat penerbangan milik kerajaan selepas Saudi Arabian Airlines itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjadikan Arab Saudi sebagai pusat logistik.
“Kami merancang ... untuk meningkatkan hubungan antarabangsa ke 250 destinasi, dan seiring dengan pelancaran syarikat penerbangan nasional baru, kami mahu menggandakan kapasiti kargo udara menjadi lebih 4.5 juta tan,” kata Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dipetik Saudi Press Agency.
Putera Mahkota itu bagaimanapun tidak menyebut bila syarikat penerbangan baharu berkenaan akan dilancarkan.
Saudi Arabian Airlines menghadapi persaingan sengit dari syarikat penerbangan Teluk lain, termasuk Emirates Airlines milik Dubai dan Qatar Airways yang berpangkalan di Doha. Kedua-dua pesaingnya itu menawarkan rangkaian penerbangan yang lebih luas.
Bloomberg News melaporkan kerajaan Arab Saudi juga sedang menimbang untuk membangunkan sebuah lapangan terbang baharu di Riyadh, khusus untuk mengendalikan pelancong antarabangsa dan pelancong perniagaan. – AFP, 1 Julai, 2021.
Komen