PENGUMUMAN moratorium bayaran balik pinjaman bank dengan kelulusan automatik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan perdana menteri baru-baru ini, memang sangat melegakan.
Bagi kebanyakan rakyat, pinjaman kewangan jangka panjang yang biasanya ditanggung adalah pinjaman perumahan dan juga kenderaan dengan nilai bayaran ansuran bulanan bergantung kepada jenis dan harga kediaman serta kenderaan yang dibeli.
Melalui maklumat rakan-rakan berpendapatan sederhana atau pertengahan atau M40 dan juga bersandarkan pengalaman peribadi, biasanya kadar bayaran ansuran bulanan bagi kedua-dua pinjaman itu adalah dalam lingkungan RM1,500 hingga RM3,000.
Menerusi moratorium tanpa syarat di bawah Pemulih, sekurang-kurangnya bagi tempoh selama enam bulan mendatang, kita tidak perlu lagi risau mencari RM9,000 hingga RM18,000 yang perlu dibayar kepada bank.
Inisiatif berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu peminjam individu dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana menguruskan aliran tunai semasa tempoh mencabar berdepan krisis pandemik ini.
Duit yang sepatutnya digunakan untuk membayar pinjaman perumahan, kereta dan lain-lain, boleh disimpan atau diperuntukkan untuk perbelanjaan lain yang lebih perlu, terutama membiayai kos makan minum serta pembelajaran anak-anak.
Konsep asas moratorium ialah tangguh atau kurangkan bayaran bulanan, bermakna peminjam dibenarkan secara undang-undang untuk tidak membayar pinjaman selama tempoh masa tertentu.
Bagi mereka yang benar-benar memerlukan atau terhimpit dengan beban kewangan, keputusan kerajaan memberikan moratorium ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan resah dalam keadaan ekonomi yang begitu mencabar angkara Covid-19 ketika ini.
Kita faham pandemik yang begitu rakus ini menyebabkan ramai kehilangan kerja, mereka yang berniaga pula terus terganggu akibat pelaksanaan sekatan pergerakan, malah lebih membimbangkan adalah isu tekanan mental seperti beberapa kes yang dilaporkan di media.
Kita juga mendengar pelbagai pandangan dan kritikan terhadap moratorium pinjaman yang diberikan itu, pihak berkepentingan politik begitu lantang membidas untuk menjadi juara rakyat, tetapi tidak pula kedengaran alternatif yang diberikan supaya wujud situasi menang-menang bagi semua pihak.
Terpulang kepada diri kita sendiri, buat pertimbangan sebaik-baiknya dan jangan menganggap lebihan tunai yang ada dalam tangan hasil moratorium nanti seperti air sungai yang mengalir tanpa henti.
Rancang dan gunakan sebaik-baiknya lebihan tunai yang ada dalam tempoh enam bulan ini untuk memperbaiki kedudukan kewangan kita, usah boros berbelanja semberono untuk tujuan tidak penting atau untuk benda yang bukan keperluan.
Nafsu berbelanja perlu dikawal, mental perlu dikukuhkan untuk bijak menggunakan lebihan tunai yang ada. Pendek kata, pilihan di tangan kita, cuma tepuk dada tanya selera. – 1 Julai, 2021.
* Nik Ismail Ezril adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen