Selangor sekat peruntukan wakil rakyat PAS


Bangunan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam. Terdapat laporan mengatakan Menteri Besar Selangor Azmin Ali membuat keputusan beberapa hari lalu untuk menyekat peruntukan kepada ahli Parlimen PAS di negeri itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

KERAJAAN Selangor membekukan peruntukan tahunan kepada wakil rakyat parti Islam itu dan turut menyingkirkan seorang wakil dalam kerajaan tempatan.

Laporan Sin Chew Daily menyebut, ketua penerangan PAS negeri Roslan Shahir Mohd Shahir dipecat dari jawatannya dalam Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu, keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar Azmin Ali sejak beberapa hari lalu.

Laporan memetik kenyataan sumber itu juga menyebut, tiga ahli exco PAS dalam kerajaan Selangor bagaimanapun dikekalkan untuk memastikan kelancaran pentadbiran.

Wakil rakyat PAS itu masih kekal dalam kerajaan Selangor walaupun PAS mengambil keputusan dalam muktamarnya pada April tahun lalu untuk memutuskan kerjasama dengan PKR.

Sumber dalam laporan Sin Chew menyebut, keputusan terbaru Azmin itu adalah tindak balas ke atas tindakan kerajaan negeri Kelantan yang tidak melantik wakil rakyat PKR sebagai penyelaras di kerusi dikuasai BN di negeri tersebut.

Perkembangan ini menunjukkan sebagai petanda bahawa usaha untuk mengekalkan kerjasama di antara kedua-dua parti tersebut kini menemui kegagalan, lapor akhbar tersebut.

Dengan itu, pilihan raya di negeri tersebut dijangka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang dijangka akan memberi kelebihan kepada BN.

Ini akan menyukarkan usaha PKR dan DAP untuk kekal sebagai kerajaan dalam gabungan baharu bersama parti Amanah dan Bersatu dalam Pakatan Harapan.

PAS menguasai 13 daripada kerusi DUN Selangor namun DAP menguasai majoriti dengan 14 kerusi dan selebihnya PKR dengan 13, Umno 1(2), Amanah (2) dan Bebas (2).

PAS mengumumkan, parti itu akan bertanding di sekurang-kurangnya 45 kerusi di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang dan mahu wakilnya menjadi menteri besar. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen