KEBANGKITAN rakyat dalam menolak penguasa bukanlah fenomena baru dalam sejarah Islam. Sedari kurun pertama Hijrah lagi penolakan telah dizahirkan oleh kelompok Khawarij yang mengingkari rundingan Tahkim Ali bersama Muawiyah.
Disusuli setelah itu dengan beberapa siri kebangkitan, yang sebahagiannya menumbangkan dinasti-dinasti besar seperti khilafah Umayyah dan ‘Abbasiyyah.
Tulisan ringkas ini menyingkap beberapa intipati utama dalam karya agung filasuf sejarah pada abad ke-14 bernama ‘Abd al-Rahman Ibn Khaldun berjudul “al-Muqaddimah”.
Tidak begitu ramai ulama pada hari ini yang mencermati al-Muqaddimah dalam menafsirkan fenomena kebangkitan rakyat, barangkali kerana dianggap tidak setaraf dengan karya sejarawan terkemuka seperti al-Tabari, al-Mas’udi dan al-Ya’qubi yang cenderung kepada metodologi sanad. Ini yang diperhatikan oleh Syed Farid Alatas.
Namun karya ini mendapat tempat dalam kalangan sejarawan Barat yang tidak terpasung dalam kerangka Eurosentisme dan Orientalisme.
Karya ini misalannya telah membuka mata Ortega y Gasset, pemikir dari Sepanyol terhadap tahap keilmuan di Afrika Utara pada zaman itu, yang beliau paparkan dalam makalahnya yang berjudul “Abenjaldún nos revela el secreto: pensamientos sobre Africa Menor” (Pendedahan Rahsia oleh Ibn Khaldun kepada Kita: Catatan mengenai Afrika Utara).
Tidak ketinggalan para pemikir dan sejarawan seperti Alfred von Kremer, Robert Flint, Ludwig Gumplowicz, René Maunier, Franz Oppenheimer dan Howard Becker yang turut menyanjung tinggi al-Muqaddimah. Ortega bahkan memuji Ibn Khaldun kerana menjadi penulis pertama yang membicarakan mengenai falsafah sejarah dan bidang sosiologi.
Sudah tentu karya utama Ibn Khaldun ini sarat dengan pelbagai mauduk, namun yang ingin dikupas dalam ruang yang terbatas ini adalah tentang teori kebangkitannya, atau islah, yang berpangkal pada konsep taghyir al-munkar, yakni semangat untuk merubah kemungkaran dan kebobrokan.
Sejarah membuktikan, apabila mula sahaja keselesaan menyelubungi kaum elit penguasa, bererti mereka sudah terpesong dari tujuan sebenar sebuah pemerintahan.
Keghairahan menumpuk harta berbanding meringankan beban rakyat, dan lalai serta berfoya-foya ketimbang tumpu usaha merungkai kemelut kesihatan dan ekonomi – amaran Ibn Khaldun ini amat wajar diambil iktibar.
Kemungkaran ini justeru akan mengundang rasa kecewa rakyat yang miskin dan susah pada awalnya, sebelum ia bertukar menjadi kemarahan rakyat keseluruhannya atas dasar empati.
Amarah yang tidak terbendung ini kemudiannya akan menyatu menjadi suatu suara raksasa, mendesak agar kebobrokan pemimpin ini segera ditamatkan.
Jika terus ditekan, rakyat sudah hampir pasti akan bangkit dan menghumban para penguasa keluar dari mahligai mereka.
Desakan rakyat ini sememangnya bukan sekadar ikut-ikutan, tetapi ada asasnya yang terbit dari hati nurani yang mahukan keadilan.
Tatkala rakyat menderita kerana kelemahan dan ketidakcekapan pengurusan, para penguasa pula bermaharajalela dengan kesenangan, hampir tidak menghiraukan rintihan dan nasihat yang diberikan.
Singgung Ibn Khaldun lagi, para penguasa juga lunak dan bermudah-mudah dengan undang-undang. Tatkala rakyat di bawah dihukum semahunya, undang-undang tidak berani menyentuh jubah penguasa.
Pertembungan ini, yang diungkapkan Ibn Khaldun sebagai antara al-‘umrān al-badawī (kelompok miskin yang mewakili rakyat) dan al-‘umrān al-ḥaḍarī (kelompok penguasa yang senang dan selesa) dalam hubungan dialektik kemasyarakatan, telah melahirkan negara dan peradaban.
Andaikan perubahan pimpinan telah dilakukan, tegas Ibn Khaldun, kebobrokan yang sama akan menjengah kembali, jika budaya yang sama diteruskan, dan tiada kesedaran serta islah diikhtiar dari dalam untuk menamatkannya.
Maka al-‘umrān al-badawī yang asalnya menderita akan menjelma sebagai al-‘umrān al-ḥaḍarī yang angkuh, sebelum ditumbangkan semula oleh gerakan islah baru yang bencikan kebobrokan dan kezaliman.
Kitaran perubahan semulajadi ini sentiasa menyaksikan bahawa kemewahan melampau merupakan punca kemaksiatan, justeru jika dibiarkan pasti mengundang kemeruduman.
Mengimbau sejarah jatuh bangun kerajaan di Afrika Utara, Ibn Khaldun memperingatkan bahawa taghyir al-munkar tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kekuatan yang sewajarnya untuk menumbangkan penguasa yang mencengkam teguh dalam masyarakat.
Kejayaan kaum Sanhajah dalam menubuhkan kerajaan Murabitun (1053–1147), sebelum dimakzulkan oleh kaum Masmudah yang kemudiannya mendirikan kerajaan Muwahhidun (1147-1275), sebelum ditumbangkan oleh kaum Zanatah yang menggantikannya dengan Bani Marin (1213–1524) kesemuanya berpunca daripada semangat asabiyyah, atau solidariti yang kuat.
Perlu diperjelaskan bahawa asabiyyah Ibn Khaldun berbeza daripada cauvinisme atau nasionalisme sempit yang menanam kebencian dan melakukan kezaliman kepada bangsa-bangsa lain.
Ia diterima sebagai suatu solidariti berteraskan ikatan kerabat dan bangsa ke arah membangun tamadun dan mengangkat darjat kemanusiaan. Maka ditekankan asabiyyah ini sebagai tunjang perubahan.
Penulis buku “Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment,” Francis Fukuyama senada dengan Ibn Khaldun dalam mengenalpasti satu lagi motif dan daya yang menggerakkan rakyat untuk mencetus perubahan, yakni identiti.
Zeitgeist demokrasi yang dicitrakan dengan pengiktirafan suara rakyat justeru diungkapkan oleh Ahmad al-Raysuni sebagai “al-ummah hiya al-asl” telah mendorong sebahagian besar mereka untuk menuntut agar identiti mereka dihormati, terutama dalam persekitaran yang dirasakan mengancam identiti mereka.
Ini termasuklah identiti agama, bangsa, bahasa, budaya dan lainnya yang terangkum dalam Perlembagaan Persekutuan.
Fukuyama menghubungkannya dengan isothymia, suatu unsur dalam diri manusia yang membangkitkan semangat.
Pengabaian identiti ini oleh pemerintah akan merenggangkan ikatan asabiyyah, sekaligus mencetus semangat kebangkitan golongan ekstrem kanan dan ultra-konservatif yang menuntut agar identiti mereka diiktiraf, sebagaimana yang terzahir di beberapa buah negara Eropah.
Oleh yang demikian, asabiyyah dan identiti mestilah menjadi perkiraan wajib demi melaksanakan perubahan yang ampuh dan berkesan, di samping ilmu, integriti, kepakaran dan pengalaman.
Perubahan yang cuba dilakukan hanya dengan bersandar kepada identiti semata-mata tanpa perkiraan asabiyyah tidak akan berjaya. Ibn Khaldun menyokong dakwaan ini dengan mengemukakan sejumlah percubaan islah dalam sejarah yang gagal lantaran tiada dukungan asabiyyah, seperti dalam kes al-Tuwayziri di al-Sus dan al-‘Abbas di al-Ghumarah.
Ibn Khaldun turut mengingatkan bahawa ini juga yang dilakukan oleh Rasulullah tatkala baginda bertindak untuk merubah sistem jahiliyah yang bobrok di Mekah.
Baginda bermula secara bertahap dengan mendapatkan sokongan kerabat terdekat dan bangsa terlebih dahulu, sedangkan pada hakikatnya baginda merupakan utusan Allah.
Jika Allah berkehendak, maka boleh sahaja baginda dibantu tanpa perlu menuruti proses dan jalan asabiyyah ini, namun Allah telah menetapkan baginda untuk mengikut sunnah adat ini, dan ini merupakan iktibar agung penting buat generasi terkemudian.
Namun perlu diperjelaskan bahawa kerabat dan bangsa bukanlah komponen mutlak dalam asabiyyah.
Telahan Ibn Khaldun juga jelas, bahawa tatkala terhapusnya dominasi kepuakan bangsa sebagai punca kuasa pemerintahan, maka apa sahaja komponen dominan yang menggantikannya dalam semangat asabiyyah akan menjadi perkara paling utama untuk memangkin kebangkitan dan mobilisasi rakyat demi melakukan islah.
Dalam konteks hari ini, komponen itu terletak pada demokrasi kepartian. Penyuburan demokrasi dengan keterlibatan rakyat secara langsung menjadi asas kepada kefungsian demokrasi di negara kita.
Walhasil, penelitian Ibn Khaldun ini begitu penting, dan berperanan sebagai panduan buat semua pemimpin dalam menentukan rencana kita untuk kekal pada landasan perjuangan demi membela yang miskin dan tertindas, menolak gejala al-‘umrān al-ḥaḍarī yang bejat seperti rasuah dan penyelewengan serta mengiktiraf dan mengangkat martabat agama, bangsa, bahasa dan budaya buat semua rakyat Malaysia. – 1 Julai, 2021.
* Hilman Fikri Azman merupakan setiausaha eksekutif di pejabat Pengerusi Emeritus, International Institute of Islamic Thought.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen