Amaran kementerian kepada kakitangan kesihatan – Dilarang buat kenyataan di media sosial


Kakitangan KKM yang melanggar arahan itu akan dikenakan tindakan disiplin termasuk buang kerja, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Jun, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan memberi amaran kepada kakitangannya untuk tidak membuat sebarang kenyataan umum di media sosial yang boleh memburukkan imej perkhidmatan awam.

Mereka yang melanggar arahan itu akan dikenakan tindakan disiplin termasuk buang kerja, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau memberi amaran itu dalam satu pekeliling bertarikh 22 Jun yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Menurut Shafiq, kakitangan KKM sudah diberi amaran dalam satu pekeliling bertarikh 22 Februari 2021, yang menegur mereka daripada membuat pernyataan awam baik untuk tujuan rasmi atau peribadi.

Beliau juga merujuk tata etika penggunaan media sosial untuk warga KKM yang dikeluarkan pada 9 Ogos 2016 sebagai panduan penggunaan media sosial yang beretika dan berintegriti.

Katanya, walaupun pelbagai garis panduan, peringatan dan teguran telah dikeluarkan berulang kali sebelum ini, namun masih ada kakitangan KKM yang tidak mengendahkannya.

“Sehubungan dengan itu pengurusan tertinggi KKM sekali lagi ingin menegaskan dan memperingatkan kepada semua warga KKM untuk lebih beretika semasa menggunakan akaun peribadi media sosial masing-masing seperti di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram, Youtube, Blogs, WhatsApp, Tik Tok dan sebagainya,” kata Shafiq.

Beliau juga mengingatkan mereka yang ingin membuat aduan, pandangan atau cadangan penambahbaikan supaya menggunakan saluran rasmi KKM.

Menurut Shafiq, sebagai kakitangan awam, warga KKM terikat dengan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Peraturan itu antara lain melarang pegawai awam membuat secara lisan atau bertulis penyataan awam yang boleh memudaratkan dasar rancangan atau keputusan kerajaan.

Beberapa doktor memberitahu The Malaysian Insight mereka dimaklumkan mengenai pekeliling itu, tetapi bukan melalui saluran rasmi.

Lazimnya pekeliling kerajaan dikeluarkan kepada pengurusan tertinggi yang kemudian akan menurunkannya ke jabatan atau bahagian masing-masing.

Beberapa sumber lain mengesahkan pekeliling berkenaan belum sampai kepada kakitangan bukan pengurusan.

Seorang kakitangan di Institut Kanser Negara mengesahkan melihat pekeliling berkenaan.

Pekeliling itu juga tidak merujuk sebagai kejadian namun sejak kebelakangan ini beberapa kakitangan KKM mendedahkan kebimbangan mereka di media sosial, antaranya mengenai pengendalian pandemik Covid-19.

Kumpulan kakitangan kesihatan kontrak juga menyuarakan keresahan mereka mengenai status pekerjaan yang disifatkan sebagai tidak adil.

Melalui mesej di media sosial mereka merancang hartal dan kempen memakai hitam ke tempat kerja dalam beberapa minggu akan datang. – 30 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen