ITALI telah selesai keluarkan semua tenteranya dari Afghanistan, umum Rome pada Rabu, sekali gus mengakhiri penempatan selama 20 tahun di sana sebagai sebahagian daripada penarikan pasukan tentera Nato yang dipercepat.
Anggota Nato yang disokong Amerika Syarikat bersetuju pada April untuk menamatkan misi mereka yang berkekuatan 9,600 di Afghanistan setelah Presiden AS Joe Biden menggesa mengakhiri perang terpanjang Washington itu.
“Malam tadi, misi Itali di Afghanistan secara rasmi berakhir,” kata Menteri Pertahanan Lorenzo Guerini dalam satu kenyataan, setelah puluhan tentera mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pisa dari Herat.
“Namun, komitmen masyarakat antarabangsa terhadap Afghanistan, bermula dengan Itali, tidak berakhir di sini. Ia akan berlanjutan dalam bentuk lain, dari memperkuat kerjasama pembangunan hingga mendukung institusi republik Afghanistan.”
Menurut kementerian itu, 50,000 tentera Itali dikerahkan ke Afghanistan dalam tempoh 20 tahun terakhir setelah serangan 9/11 mendorong penglibatan AS dan Nato di negara itu.
Dalam tempoh itu, 53 tentera mati dan 723 cedera.
Itali adalah salah satu daripada lima negara yang paling banyak terlibat di Afghanistan bersama dengan Amerika Syarikat, Turki, Britain dan Jerman.
Misi bukan tempur pimpinan Nato ini bertujuan untuk melatih pasukan Afghanistan memastikan keselamatan negara mereka setelah pasukan tentera asing berundur.
Pengunduran itu telah mendorong ketakutan bahawa Talibanakan kembali berkuasa di negara itu. – AFP, 30 Jun, 2021.
Komen