Kastam Beijing buka laluan hijau licinkan urusan bekalan vaksin


Kastam China kini perlu menguruskan lebih banyak bekalan susulan permintaan global terhadap vaksin dari negara itu yang semakin meningkat. – Gambar EPA, 30 Jun, 2021.  

KASTAM Beijing membuka laluan hijau untuk memperlicin prosedur pelepasan bekalan vaksin Covid-19 yang disalurkan kepada pihak memerlukan.

Susulan permintaan global terhadap vaksin China semakin meningkat, pihak kastam kini perlu menguruskan lebih banyak bekalan.

Kakitangan kastam bertugas secara bergilir 24 jam untuk memastikan kerja memeriksa vaksin siap dalam waktu paling singkat.

“Demi memenuhi piawaian pengangkutan vaksin menerusi rantaian sejuk beku, kami dikerah bertugas di gudang syarikat Sinovac dan Sinopharm.

“Dengan ini, pemeriksaan vaksin dapat selesai dalam masa 20 minit sejurus ia dihasilkan,” kata seorang pegawai pemeriksa, Wang Jian.

Menurut Wang, seluruh proses hanya mengambil masa dua jam untuk sampai ke lapangan terbang.

Sementara itu, mekanisme jaminan perkhidmatan eksport digerakkan di lapangan terbang bagi membolehkan penghantaran dilakukan tanpa sebarang penangguhan.

China selama ini giat melakukan kolaborasi antarabangsa membabitkan penyelidikan dan penghasilan vaksin Covid-19, di samping memperluas pembekalan produk kesihatan itu ke negara lain. – Bernama, 30 Jun, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen