AMERIKA Syarikat (AS) mungkin akan menyelesaikan pengunduran tenteranya dari Afghanistan dalam beberapa hari lagi, lapor Sputnik, memetik CNN.
Minggu ini boleh menjadi minggu kritikal untuk menyelesaikan proses tersebut, kata seorang pegawai pertahanan AS pada Selasa.
Laporan itu menyatakan kira-kira 1,000 tentera Amerika akan kekal di Kabul sebagai petugas keselamatan untuk Kedutaan AS dan di lapangan terbang di bandar ini. AS mempunyai kira-kira 2,500 tentera di Afghanistan ketika proses menghantar balik tentera bermula 1 Mei lalu.
Terdahulu pada Selasa, panglima tentera tertinggi AS di Afghanistan, Jeneral Austin S Miller, memberitahu wartawan, Afghanistan mungkin akan menghadapi perang saudara selepas pengunduran AS secara rasmi dari negara itu.
Pakar mengandaikan AS akan menyempurnakan proses penghantaran pulang tenteranya pada 4 Julai, namun Miller tidak mengesahkannya.
Taliban baru-baru ini melancarkan serangan untuk menguasai kira-kira 100 pusat wilayah, terutama di barat laut Afghanistan. – Bernama, 30 Jun, 2021.
Komen