Rusia hantar kargo ke stesen angkasa


Foto oleh agensi ruang angkasa Roscosmos menunjukkan menara perkhidmatan bergerak menuju roket pengangkut Soyuz dengan kapal kargo Progress diangkat di landasan pelancaran di kosmodrom Baikonur di Kazakhstan. – Gambar AFP, 30 Jun, 2021.

RUSIA pada Rabu berjaya melancarkan kapal angkasa tanpa pemandu yang membawa bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.

Roket Soyuz yang membawa kapal angkasa Progress dilancarkan pada 02.27 pagi waktu Moscow dari Kazakh dan berjaya mencapai orbit sasarannya, kata agensi angkasa Roscosmos dalam satu kenyataan.

Pendaratan di ISS dijadualkan berlangsung pada jam 4.02 pagi waktu Moscow pada Jumaat, secara automatik.

Progress MS-17 membawa lebih dari 470 kilogram bahan bakar, 420 liter air dan pelbagai bekalan lain.

Program angkasa Rusia terkenal kerana telah menghantar orang pertama ke angkasa pada 1961 dan melancarkan satelit pertama, Sputnik 1, empat tahun sebelum itu, selain pencapaiannya kekal menjadi sumber kebanggaan negara itu.

Tetapi dalam dekad lalu negara tersebut telah mengalami beberapa siri kegagalan, terutamanya berkaitan kehilangan satelit mahal dan kapal bekalan Progress. – AFP, 30 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen