Varian membimbangkan naikkan kadar jangkitan Covid-19, kata Adham


Raevathi Supramaniam

Kemunculan varian baharu di negara ini menyebabkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021. 

KADAR kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 Malaysia meningkat selepas munculnya varian baharu di negara ini, kata Menteri Kesihatan Adham Baba.

Varian Delta, Beta dan Alpha kini sudah lazim dalam kalangan komuniti, katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

“Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan paling terkesan oleh varian membimbangkan ini,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Varian Delta berasal dari India, varian Beta dari Afrika Selatan dan varian Alpha dari United Kingdom.

Kadar RT kini berada pada tahap 1.04 selepas kekal di bawah 1.0 dari 6 Jun hingga 27 Jun.

Dr Adham berkata pada 29 Jun, Malaysia melakukan 17,651,154 ujian Covid-19 yang mengembalikan kadar positif 5.64%.

“Kita dapat mencapai kadar positif ini melalui ujian besar-besaran secara bersasar dan ujian besar-besaran di peringkat negeri.

“Di daerah-daerah di mana Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) dikuatkuasakan, kita juga menguji seluruh populasi di daerah itu bagi mengasingkan mereka yang positif dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Dengan melakukan seperti ini, kami yakin kadar positif akan terus menurun,” katanya.

Tahap positif Malaysia ketika ini konsisten melebihi 5% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Dr Adham berkata, Malaysia kini melakukan purata 72,000 ujian Covid-19 setiap hari walaupun memiliki kemampuan melakukan 130,000 ujian. – 30 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen