LEBIH 400 kakitangan Parlimen sudah menerima vaksin sebagai persiapan persidangan semula Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata mereka yang diberi vaksin hari ini termasuk kakitangan Parlimen, tukang cuci dan mereka yang menyediakan perkhidmatan katering di Parlimen.
“Ini bagi memastikan apabila semua kakitangan Parlimen sudah divaksin sepenuhnya apabila Parlimen bersidang,” kata Khairy dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Adham Baba di Putrajaya.
Beliau berkata semua ahli Parlimen juga diberitahu bahawa kakitangan yang akan bersama mereka ke Parlimen juga layak menerima vaksin.
Langkah memvaksinasi kakitangan Parlimen dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang secepat mungkin.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah selepas mempengerusikan persidangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun lalu,
Agong berkata Parlimen perlu bersidang segera bagi membolehkan semua ordinan darurat dan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dibahaskan oleh wakil rakyat. – 30 Jun, 2021.
MENYUSUL
Komen