Cari jalan pastikan wang persaraan rakyat cukup, gesa ahli ekonomi


Raevathi Supramaniam

Pengeluaran simpanan persaraan menandakan rakyat Malaysia dalam keadaan terdesak kesan daripada pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan yang berpanjangan, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

PUTRAJAYA perlu mencari jalan bagi memastikan pencarum yang mengeluarkan wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih mempunyai simpanan persaraan yang cukup selepas pandemik Covid-19, kata pakar ekonomi.

Pengeluaran simpanan persaraan menandakan rakyat Malaysia dalam keadaan terdesak kesan daripada pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, tambah mereka.

Pakar ekonomi dari Penang Institute, Lim Kim-Hwa, memberitahu The Malaysian Insight perkara paling mustahak ketika ini adalah bagaimana untuk memastikan kelangsungan hidup, dan bukannya perancangan jangka panjang.

“Salah apabila melarang rakyat menggunakan simpanan persaraan mereka.

“Secara mudahnya, kita sudah tentu berhak untuk menggunakan wang simpanan sendiri. Sama ada baki simpanan cukup atau tidak selepas bersara, itu masalah lain,” katanya.

Menurutnya, selepas ekonomi pulih negara akan berdepan pula masalah untuk membantu pencarum menokok simpanan.

Antara langkah yang boleh diambil kerajaan ialah dengan melabur dan membesarkan lagi pai ekonomi.

“Pulangan 1% (pelaburan) dapat menyelesaikan banyak masalah, namun ia sukar dicapai.

“Dalam menguruskan dana, pengurus dana mengenakan caj tahunan sebanyak 2%. Dalam kebanyakan penyelesaian digital, caj kurang daripada 1%.

“Jika lebih ramai orang menggunakan kaedah digital, maka anda akan dapat pulangan tambahan 1%.

“Jadi ini berkenaan meningkatkan kebolehcapaian kepada kos yang lebih rendah dan produk pelaburan yang berkualiti tinggi. Anda membenarkan rakyat menambah tabungan,” kata Lim.

Tambah beliau, negara juga perlu berkembang untuk membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan, dan memastikan golongan B40 menokok simpanan persaraan.

Isnin lalu, Putrajaya mengumumkan kemudahan pengeluaran baharu KWSP, iaitu i-Citra, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, umum perdana menteri.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengeluaran KWSP di bawah skim i-Lestari dan i-Sinar bagi membantu rakyat hadapi cabaran Covid-19.

Melalui skim i-Lestari, pencarum berusia 55 tahun ke bawah mengeluarkan simpanan akaun dua mereka, maksimum RM500 sebulan untuk 12 bulan, sehingga 31 Mac lalu.

Menerusi skim i-Sinar pula, pencarum dibenar mengeluarkan simpanan sehingga 10% daripada Akaun 1.

Dalam temu bual bersama The Edge Weekly minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan berkata sejumlah RM50.93 bilion sudah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang diluluskan bagi 6.49 juta pemohon. – 30 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen