Bersidang di Parlimen secepat mungkin, tak perlu berlengah-lengah


PERSIDANGAN Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini selaras dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong. Semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan sekali lagi bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. 

Perkara ini perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen. 

Penting untuk semua pihak yang terlibat menjunjung, menghormati dan melaksanakan sepenuhnya titah perintah Yang di-Pertuan Agong terhadap perkara ini. 

Secepat mungkin bermaksud secepat mungkin. Ia perlu dilakukan dengan segera bukannya kemudian. Tidak perlu berlengah-lengah terhadap perkara ini. 

Sebarang alasan untuk menafikan proses persidangan dalam Parlimen tidak boleh diterima pakai lagi.

Pembukaan semula Parlimen penting supaya institusi demokrasi terpenting negara dapat menjalankan fungsi utamanya bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara. 

Setiap wakil rakyat yang telah dipilih perlu menjalankan tugas mereka di Dewan Rakyat melalui proses persidangan. 

Proses persidangan dalam Parlimen penting untuk melakukan proses semak dan imbang bagi meneliti dan menilai segala langkah dan usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan semenjak pertengahan bulan Januari yang lalu. 

Setiap langkah dan usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan perlu dibahas, ditegur dan ditambahbaik. 

Ketiadaan proses persidangan di Parlimen menyebabkan proses demokrasi negara tergantung sekali gus mengundang keresahan orang ramai dalam negara kita dan tanggapan negatif dari negara lain. 

Ia juga boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara untuk tempoh jangka masa panjang. 

Proses persidangan Parlimen perlu dilakukan supaya setiap wakil rakyat dapat berbahas sesama mereka dan mencari jalan dan kaedah yang lebih baik bagi menghulurkan bantuan segera kepada rakyat yang terjejas teruk akibat daripada kesan penularan wabak Covid-19. 

Proses persidangan Parlimen juga perlu dilakukan bagi mempercepatkan proses pindaan undang-undang sedia ada dan bagi mewujudkan undang-undang baru demi memperkukuhkan keadilan dan menjaga prinsip demokrasi. 

Walaupun negara sedang bergelut dengan wabak virus Covid-19, ia tidak menjadi satu halangan besar untuk membenarkan proses persidangan Parlimen bermula kembali dengan secepat yang mungkin memandangkan langkah-langkah pencegahan penyebaran wabak telah diambil dengan baik sekali. 

Semua ahli Parlimen boleh bertemu dan bersidang dengan selamat di dalam dewan di Parlimen melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. – 30 Jun, 2021.

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen