Pakej rangsangan hanya langkah sementara, kata pakar ekonomi


Raevathi Supramaniam

Kerajaan mungkin perlu mencari jalan untuk hidup dengan Covid-19 daripada mengharapkan kehidupan kembali seperti sebelum pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

PAKEJ rangsangan Putrajaya hanyalah langkah sementara untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh pandemik sambil memastikan momentum ekonomi negara tidak terhenti, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata, walaupun pakej rangsangan itu perlu, ia tidak menyatakan virus Covid-19 kini adalah endemik dan negara mungkin perlu mencari jalan untuk hidup dengan virus itu daripada mengharapkan kehidupan kembali seperti sebelum pandemik.

“Rangsangan itu perlu, memandangkan jangka masa dan kesan pandemik terhadap perniagaan serta pendapatan isi rumah dan pelbagai sumber rezeki.

“Bagaimanapun, ia tidak dianggap memadai buat perniagaan yang hampir di ditutup atau yang tidak dapat bertahan walaupun ada bantuan,” kata Yeah Kim Leng, profesor ekonomi di Sunway University.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan ekonomi Pemulih bernilai RM150 bilion. Sejak pandemik bermula, Putrajaya setakat ini telah mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM380 bilion.

Sorotan utama Pemulih adalah moratorium pinjaman enam bulan untuk semua orang, subsidi gaji untuk majikan, pengeluaran sehingga RM5,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Majikan (KWSP) di bawah skim i-Citra dan bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain mereka yang berada di dalam sektor pelancongan, sukan dan seni kreatif.

Dalam Pelan Pemulihan Negara diumumkan sebelum ini, Muhyiddin menggariskan empat fasa pembukaan semula ekonomi yang bergantung pada tiga indikator: jumlah kes Covid-19 harian kurang, ramai telah divaksinasi dan sistem penjagaan kesihatan tidak lagi dalam keadaan kritikal.

Yeah berkata lebih banyak perniagaan akan ditutup memandangkan ketidakpastian ekonomi dan jangka masa yang tidak menentu bila fasa kedua pelan pemulihan akan dilaksanakan.

“Bantuan, subsidi gaji dan moratorium pinjaman sangat membantu tetapi kita perlu berjaga-jaga dengan lebih banyak penutupan perniagaan memandangkan ketidakpastian dan kesan yang dicetuskan pandemik.

“Bagi mereka yang diberhentikan kerja, anda akan melihat peningkatan pengangguran memandangkan sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi kemungkinan akan mempertimbangkan untuk memberi tekanan kepada pekerja. Ini akan memberi kesan kepada pasaran buruh,” kata Yeah.

Tambahnya, jika sekatan pergerakan dilanjutkan, kerajaan mungkin akan fikir kembali dasar dan menerapkan langkah-langkah yang lebih bersifat tempatan dan bukannya sekatan pergerakan seluruh negara.

Malaysia dikenakan sekatan pegerakan pada 1 Jun. Ia hanya akan ditarik apabila jumlah kes harian kurang 4,000. Setakat ini, Malaysia masih melaporkan lebih kurang 5,000 kes sehari.

Antara keperluan jangka pendek dan penyesuaian norma baharu

Pakar ekonomi Lim Kim-Hwa dari Institut Pulau Pinang berkata kerajaan perlu mencari keseimbangan antara keperluan jangka pendek untuk membantu mereka yang menghadapi masalah sementara beralih untuk menerima bahawa virus Covid-19 adalah endemik.

“Virus ini akan menjadi endemik dan tidak akan hilang begitu sahaja apabila sasaran vaksinasi dicapai.

“Masalahnya tidak akan hilang, tetapi lebih kepada bagaimana anda akan hidup dengannya dan beralih untuk menerima virus itu akan berada dalam masyarakat selain bagaimana mengurangkannya pada tahap individu.

“Membantu peralihan tenaga kerja adalah bahagian penting untuk pemulihan ekonomi,” katanya. – 30 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen