336 kes bunuh diri pada suku pertama 2021, naik waktu pandemik, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Sekiranya kemurungan gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri, kata Dr Noor Hisham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2021.

PANDEMIK Covid-19 telah memberi kesan amat besar kepada kesihatan mental dengan 336 kes bunuh diri dilaporkan dalam tiga bulan pertama tahun ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata perkara ini membimbangkan kerana sepanjang tahun lalu sebanyak 631 kes dilaporkan berbanding 609 kes pada 2019.

“Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketiba berada di dalam keadaan tekanan yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memohon masyarakat agar lebih waspada dan prihatin terhadap ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenal pasti gejala awal kemurungan yang dapat menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

Katanya masyarakat dapat membentu individu yang mengalami kemurungan dengan berkomunikasi secara berkesan dengan mereka.

“Antaranya mengambil serius tentang masalah yang dialami, meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka dan tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka.

“Selain itu, tunjukkan empati dan elakkan sikap menghakimi, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat yang terkini bagi mengekalkan perhubungan dengan individu tersebut selain memberikan sokongan sosial kepada mereka seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan.

“Budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan sesiapa yang menghadapi masalah dan terkesan dengan pandemik agar mendapatkan pertolongan dan tidak menghadapinya seorang diri. 

“Setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesihatan mental diri, keluarga, dan komuniti bagi menghadapi pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Noor Hisham berkata antara perubahan tingkah laku ditunjukkan oleh individu tersebut ialah mereka akan selalu kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, sukar untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa.

“Selain itu, individu-individu ini juga sering mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling, selain menyalahguna alkohol dan dadah.  

“Mereka juga akan menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga, malah menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

“Sekiranya terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di atas, individu dinasihatkan agar mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk,” katanya.  

Noor Hisham menggesa mereka yang terkesan mendapatkan bantuan di talian panas berikut:

  • Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS): 03-29359935 atau 014-3223392
  • Talian Kasih: 15999, atau WhatsApp 019-2615999
  • Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim: WhatsApp 0111-9598214
  • Befrienders Kuala Lumpur: 03-76272929. – 29 Jun, 2021.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen