32 terbunuh dalam kebakaran kapal tangki Iran di China


Kapal Sanchi terbakar selepas melanggar sebuah kapal lain di Shanghai dan sudah terbakar lebih seminggu. Usaha mendekatinya sukar kerana letupan kerap berlaku serta gas beracun yang dibebaskan. – Gambar AFP, 14 Januari, 2018.

SEORANG pegawai Iran hari ini mengatakan tidak mungkin mana-mana 32 krew masih hidup selepas kebakaran melibatkan sebuah kapal tangki minyak negara itu di perairan China.

Kapal itu kini terbakar lebih seminggu.

“Tiada harapan mencari krew yang terselamat,” kata jurucakap Mohammad Rastad kepada media Iran menjelaskan perkembangan misi menyelamat dilakukan pasukan Iran yang dihantar ke Shanghai.

Beliau menambah yang dua pertiga badan kapal tangki milik Iran itu ditenggelami air.

Kapal itu- Sanchi- membawa 136,000 minyak mentah dari Iran terbakar sejak berlanggar dengan kapal didaftarkan di Hong Kong, CF Crystal, di 160 batu nautika timur Shanghai pada 6 Januari lalu.

Tidak dapat dijelaskan sama ada berlaku tumpahan minyak besar ke dalam laut.

Rastad berkata maklumat dari krew Crystal mencadangkan semua krew Sanchi terbunuh dalam tempoh awal pelanggaran itu “disebabkan oleh letupan dan gas yang dibebaskan”.

“Walaupun kami berusaha, tidak mungkin untuk memadamkan kebakaran dan menemui mayat krew kerana letupan dan kebocoran gas yang kerap berlaku,” katanya.

“Dua pertiga badan kapal itu tenggelam, dan api sudah merebak ke seluruh kapal, kami tak lagi boleh mendekatinya,” tambahnya. – AFP, 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen