Penyiasat Jerman pada Selasa berkata mereka mengesyaki motif pelampau Islam di sebalik serangan pisau minggu lalu oleh seorang lelaki Somalia sehingga menyebabkan tiga wanita maut di bandar Wuerzburg, Jerman.
“Pejabat Pusat Pelampau dan Keganasan Bavaria telah mengambil alih siasatan kerana kemungkinan bermotif Islam,” kata satu kenyataan bersama dari pendakwa raya Bavaria dan pejabat penyiasat jenayah negeri.
Seorang lelaki berusia 24 tahun pada Jumaat mengamuk di Wuerzburg, lalu menikam tiga wanita hingga mati selain menyebabkan enam lain cedera parah.
Suspek, seorang warga Somalia yang tiba di Jerman pada 2015, menyerang di pusat bandar pada Jumaat malam, di sebuah kedai barang rumah sebelum ke sebuah bank.
Dia diasak ke tepi oleh pejalan kaki, sebelum polis menembak pehanya.
Penyiasat menemui rekod menunjukkan lelaki itu telah dirawat di institusi sakit jiwa, dan polis berkata dia bukan seorang Islam yang terkenal.
Namun pihak berkuasa Bavaria berkata, sejumlah punca menjadikan mungkin ada motif pelampau Islam.
Ini termasuk kisah saksi yang mengesyaki teriakan “Allahu Akbar” semasa kejadian itu berlaku.
Suspek dilaporkan menyebut “jihad” dari katil hospitalnya setelah ditahan.
Kerajaan Jerman ragu-ragu untuk mengklasifikasikan serangan itu sebagai serangan pengganas dan meminta orang ramai untuk menunggu sehingga siasatan selesai sebelum membuat kesimpulan.
Canselor Angela Merkel berkata “apa yang pasti tindakan mengerikan itu ditujukan kepada semua umat manusia dan setiap agama”, kata jurucakapnya Steffen Seibert di Twitter pada Sabtu. – AFP, 29 Jun, 2021.
Komen