Polis India siasat Twitter berhubung peta Kashmir


Seorang lelaki memegang pelekat ketika melaungkan slogan memprotes undang-undang baharu media sosial di India, semasa demonstrasi di New Delhi pada 20 Januari 2020. – Gambar AFP, 29 Jun, 2021.

POLIS India telah membuat tuduhan awal terhadap pegawai kanan Twitter berhubung peta negara yang tidak tepat, kata seorang pegawai pada Selasa, dalam peningkatan terbaharu antara firma Amerika Syarikat dan New Delhi.

Polis di Uttar Pradesh berkata tuduhan jenayah itu telah diusulkan terhadap dua pegawai Twitter India pada Isnin lalu berikutan aduan ketua tempatan sebuah kumpulan nasionalis Hindu bahawa laman web firma AS itu menunjukkan wilayah Kashmir yang dipertikaikan sebagai sebuah negara merdeka.

Peta itu telah dikeluarkan dari bahagian kerjaya “Tweep Life” Twitter setelah ramai pengguna media sosial marah pada Isnin terhadap laman blog mikro itu.

Seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa ketua Twitter India, Manish Maheshwari dan seorang pegawai kanan lain sedang disiasat kerana melanggar undang-undang IT India dan menyebabkan salah faham terhadap orang ramai.

“Perbuatan ini telah menyakiti sentimen orang India, termasuk saya,” kata Praveen Bhati dari Bajrang Dal, kumpulan militan Hindu, dalam aduannya.

Kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pelanggaran sempadan India yang makin gerit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama mengenai gambaran bahawa sebahagian Kashmir diperintah India dan Pakistan tetapi sepenuhnya dituntut oleh dua negara besar Asia Selatan itu.

Twitter telah disekat sejak beberapa bulan dalam perselisihan dengan New Delhi mengenai peraturan baharu untuk syarikat media sosial yang beroperasi di India.

Peraturan tersebut menuntut firma menghapus dan mengenal pasti “pencetus pertama” ciapan yang dianggap merosakkan kedaulatan India, keamanan negara atau ketenteraman awam.

Syarikat media sosial dan aktivis bimbang kekaburan peraturan itu bermaksud mereka boleh dipaksa untuk mengenal pasti penulis ciapan yang kritikal terhadap kerajaan.

WhatsApp mencabar undang-undang itu di mahkamah, kerana bimbang ia akan melanggar sistem yang menghalang orang lain selain pengirim dan penerima membaca mesej.

Kerajaan telah berkata, jika tidak mematuhi undang-undang, membolehkan syarikat teknologi dibatalkan dari perlindungan di India.

Dalam apa yang menjadi kes ujian, awal bulan ini polis menuduh Twitter dengan kesalahan jenayah serius kerana menayangkan video menunjukkan seorang lelaki Muslim diserang.

Polis menuduh Twitter mencetuskan ketegangan puak dan memanggil Maheshwari untuk disiasat, yang bagaimanapun telah mendapatkan perlindungan mahkamah. – AFP, 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen