PENDUDUK Yahudi semalam bersetuju keluar daripada penempatan baharu yang dicerobohi di kawasan Tebing Barat sehingga mencetuskan tunjuk perasaan selama berminggu-minggu oleh rakyat Palestin.
Ia susulan perjanjian dicapai dengan kerajaan Israel, yang disahkan pemimpin penduduk dan Kementerian Dalam Negeri.
Mengikut perjanjian itu, penduduk terbabit akan keluar dari penempatan Eviatar dalam tempoh beberapa hari, namun kediaman bergerak mereka akan kekal dan tentera Israel mendirikan pangkalan di kawasan berkenaan.
Pemimpin penduduk, Yossi Dagan dalam satu kenyataan berkata Kementerian Pertahanan bersetuju mengkaji tuntutan tanah bagi menilai prospek penempatan yang diperakui pada masa depan.
Dagan berkata perjanjian itu diluluskan Perdana Menteri Israel Naftali Bennett; Menteri Pertahanan Benny Gantz dan Menteri Dalam Negeri Ayelet Shaked.
Pejabat Shaked mengesahkan perjanjian itu, namun jurucakap kepada Bennett dan Gantz belum memberi komen, setakat ini.
Bulan lalu, kira-kira 50 keluarga Yahudi berpindah ke Eviatar dan mendirikan pondok, khemah serta karavan – yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Israel – di tanah berhampiran Nablus di Tebing Barat yang diceroboh.
Seorang penduduk terbabit, Tzvi Succot memberitahu beliau menyokong perjanjian itu kerana percaya ia akan membawa kepada pewujudan penempatan Yahudi secara kekal pada akhirnya.
Susulan pencerobohan itu, rakyat Palestin di kawasan berdekatan, Beita bertindak balas dengan melakukan bantahan waktu malam, membunyikan hon, membakar tayar dan memancarkan cahaya laser bagi mengganggu tidur penduduk Yahudi terbabit.
Bantahan itu diteruskan semalam dengan penduduk Beita memancarkan cahaya hijau ke arah kediaman penceroboh dan mengibarkan bendera Palestin.
Tentera Israel dilaporkan membunuh empat rakyat Palestin, termasuk seorang remaja, dalam pergolakan susulan bantahan berkenaan. – AFP, 29 Jun, 2021.
Komen